
KUALA LUMPUR – UMNO memberi isyarat jelas mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan, dengan sasaran bukan sekadar mempertahankan kedudukan dalam kerajaan, sebaliknya kembali memperoleh mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya akan datang merupakan detik penentuan kepada UMNO untuk membuktikan kemampuan parti itu bangkit selepas kehilangan penguasaan di Putrajaya lapan tahun lalu.
Menurut beliau, kebangkitan ‘Gelombang Biru’ yang dibawa parti itu perlu diterjemahkan kepada mandat rakyat menerusi peti undi.
“PRU16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
“Justeru, telah tiba masanya PRU16 perlu segera diadakan. Setuju?” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak boleh sekadar bergantung kepada nostalgia kekuatan lalu, sebaliknya perlu berani membaca perubahan landskap politik negara sekiranya mahu kembali menjadi kuasa dominan.
Mengimbas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 pada 2018, beliau berkata, kejatuhan itu sebenarnya mempunyai petanda lebih awal apabila gabungan berkenaan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008.
“Parti yang mahu bangkit tidak boleh hanya menyalahkan orang lain. Kita harus sedar, selalunya kejatuhan tidak bermula ketika kita kalah.
“Sebaliknya, ia bermula apabila kita terlalu yakin yang kita tidak akan pernah kalah,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, perjalanan politik sepanjang lapan tahun selepas kehilangan Putrajaya turut mengajar UMNO untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, termasuk melalui pengalaman menjadi pembangkang dan kemudiannya berkongsi kuasa dalam kerajaan.
“Daripada pemerintah kepada pembangkang. Daripada dominan kepada berkongsi kuasa.
“Kita memasakkan semula erti perjuangan, rapatkan saf dan pulihkan keyakinan. Kini masanya untuk kita mencipta semula kemenangan,” katanya.
Beliau menegaskan, perubahan realiti politik menuntut UMNO terus memperkukuh parti dan keyakinan rakyat sekiranya mahu kembali mendapat mandat untuk menerajui negara pada PRU16.
The post “Telah tiba masanya PRU16 segera diadakan”, Zahid mahu UMNO kembali terajui negara appeared first on MYBERITA.






