Telegram Perkenalkan Ciri ‘Member Tags’ Dan Sekatan Perkongsian Perbualan Baharu

TechnologyDigital
5 Mar 2026 • 12:57 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Telegram menerima kemaskini baharu bagi memastikan pengalaman penggunaan lebih baik. Antara yang diperkenalkan kali ini ialah Member Tags iaitu ahli kumpulan boleh menambah tag di sebelah nama untuk menunjukkan peranan masing-masing.

image is not available

Pentadbir pula boleh menetapkan sama ada ahli bebas menetapkan tag sendiri atau hanya pentadbir yang boleh berikan, manakala tag admin akan dipaparkan dengan warna berbeza supaya lebih mudah dikenali. Fungsi ini dilihat mirip dengan ciri add tag member yang terdapat dalam aplikasi WhatsApp namun diintegrasikan secara lebih kemas dalam Telegram.

image is not available

Selain itu, pengguna boleh menambah kapsyen pada GIF sebelum dihantar. Fungsi ini menjadikannya lebih sesuai untuk ‘meme’ atau mesej kreatif. Gambar turut boleh ditukar menjadi pelekat dengan satu klik dan selepas itu ia boleh disunting untuk memangkas objek, menambah teks atau emoji. Bukan itu sahaja, GIF dan pelekat tersebut turut boleh disunting dalam editor media Telegram. Pengguna boleh menambah teks, melukis atau menambah emoji sekali gus memberikan lebih banyak kebebasan ketika berkomunikasi.

image is not available

Kemaskini kali ini turut menambah baik fungsi komuniti dengan fungsi ‘Timestamps’ pada undian yang embolehkan peserta melihat masa setiap undian dibuat dengan lebih jelas. Bot juga kini menyokong ‘Streaming Responses’ yang menjadikan teks muncul secara beransur-ansur di skrin untuk membuatkan komunikasi terasa lebih semula jadi.

image is not available

Dalam masa yang sama, Telegram memperkenalkan Log In with Telegram, yang membolehkan pengguna mendaftar masuk ke aplikasi atau laman web hanya dengan akaun Telegram tanpa perlu mencipta kata laluan. Selain itu, terdapat juga Time & Date Formatting yang membolehkan mesej mengandungi tarikh dan masa yang boleh ditekan untuk menambah acara ke kalendar atau menetapkan peringatan.

image is not available

Bagi pengguna Telegram Premium, terdapat ciri tambahan iaitu Disable Sharing in Private Chats. Melalui fungsi ini, perkongsian dalam perbualan dapat disekat sepenuhnya. Hal ini termasuk menghalang mesej daripada dihantar semula, menyekat tangkapan skrin, serta mengelakkan media daripada disimpan. Ciri ini membantu mewujudkan suasana komunikasi yang lebih selamat antara dua pihak.