liza20/08/2026 - 16:09 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – ELK-Desa Resources Berhad mencatat prestasi lebih lemah pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027) berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen pembiayaan sewa beli.
Segmen berkenaan terjejas akibat bayaran balik pelanggan yang lebih perlahan serta kerugian lebih tinggi daripada penjualan kenderaan yang ditarik balik.
Keadaan itu menyebabkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan susut 36% kepada RM5.52 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2026 daripada RM8.58 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih turun 37% kepada RM4.07 juta daripada RM6.43 juta.
Segmen sewa beli beri tekanan
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata hasilnya meningkat 2% atau RM875,584 kepada RM50.12 juta daripada RM49.25 juta, didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen perabot.
“Bagi segmen pembiayaan sewa beli, hasil susut 2% kepada RM32.36 juta daripada RM32.87 juta disebabkan pengeluaran pinjaman sewa beli baharu yang lebih rendah.
“Keuntungan sebelum cukai segmen itu pula merosot 43% kepada RM4.66 juta daripada RM8.20 juta. Kerugian rosot nilai aset kewangan meningkat 20% kepada RM15.75 juta, menyebabkan caj kerugian kredit meningkat kepada 2.15% daripada 1.77%,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagaimanapun, kualiti pinjaman menunjukkan sedikit pemulihan apabila nisbah pinjaman terjejas bersih, turun kepada 0.80% pada 30 Jun 2026 daripada 0.99% pada 31 Mac 2026. Penghutang sewa beli pula berjumlah RM708.19 juta, turun 2% daripada RM721.07 juta setahun sebelumnya.
Segmen perabot catat prestasi lebih kukuh
Dalam pada itu, ia berkata segmen perabot pula mencatat peningkatan hasil 8% kepada RM17.76 juta daripada RM16.38 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 125% kepada RM861,680 daripada RM382,407.
Peningkatan itu disokong jualan perabot domestik yang lebih tinggi dengan margin keuntungan kasar selepas mengambil kira kos penghantaran dan pengangkutan meningkat kepada 31% daripada 27%.
Segmen berkenaan turut merekodkan keuntungan sekali sahaja hasil penamatan awal kontrak sewaan hak penggunaan (right-of-use), menyebabkan pendapatan lain meningkat kepada RM160,000 daripada RM20,000 pada tempoh perbandingan.
ELK-Desa turut membayar dividen interim kedua sebanyak RM10.9 juta atau 2.50 sen sesaham pada 25 Jun 2026 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Dalam suku berkenaan, kumpulan turut membeli semula 1.7 juta saham pada harga purata RM1.03 sesaham dengan jumlah RM1.75 juta.
Bagi prospek, ELK-Desa menjangkakan prestasi FY2027 berdepan lebih banyak cabaran berbanding FY2026 susulan ketidaktentuan geopolitik, kemungkinan gangguan rantaian bekalan global dan turun naik harga komoditi.
Kumpulan mengambil pendirian berhati-hati dan tidak menjangkakan pertumbuhan atau hanya pertumbuhan minimum bagi segmen pembiayaan sewa beli.
Kumpulan berkata tekanan terhadap segmen sewa beli turut datang daripada pendapatan boleh guna pengguna yang semakin terhimpit, kos sara hidup dan pengangkutan yang tinggi serta peningkatan penggunaan kemudahan kredit bukan bank seperti beli sekarang bayar kemudian (BNPL) yang boleh meningkatkan risiko pelanggan terlebih hutang dan memperlahankan bayaran balik.
Bagi segmen perabot, kumpulan akan mengoptimumkan rangkaian dan kepelbagaian produk serta mengekalkan harga kompetitif untuk menyokong kuasa beli pengguna. - DagangNews.com






