liza20/08/2026 - 17:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM94.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat 44.5% berbanding tempoh sebelumnya.
Peningkatan keuntungan itu didorong prestasi lebih baik segmen perkapalan susulan pendapatan pengangkutan laut yang lebih tinggi selain jumlah kargo domestik dan serantau yang kekal kukuh.
Bagi suku berkenaan, pendapatan MTTSL meningkat 20.8% kepada RM360.4 juta berbanding suku pertama tahun kewangan 2026 manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 45.8% kepada RM99.6 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, kumpulan mencatat pendapatan RM658.7 juta manakala PBT dan PAT masing-masing berjumlah RM168 juta dan RM160.6 juta.
Prestasi itu turut membolehkan MTTSL mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.2 sen sesaham bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, membabitkan jumlah kira-kira RM80 juta dan dikecualikan cukai.
Dividen Dan Pengembangan Armada
Pengisytiharan dividen itu selaras dengan dasar MTTSL untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 50% daripada PAT kepada pemegang saham, sekali gus menunjukkan komitmen kumpulan dalam memberikan pulangan kepada pelabur.
Pengerusi Eksekutif MTTSL, Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee berkata prestasi kukuh bagi separuh pertama tahun kewangan mencerminkan daya tahan operasi kumpulan serta asas perniagaan yang kukuh.
“MTTSL kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang berikutan penghantaran 12 kapal kontena baharu yang dijangka diterima dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Penambahan kapal itu akan terus mengukuhkan kedudukan MTTSL sebagai pengendali perkapalan kontena utama Malaysia selain meningkatkan keupayaan kumpulan untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, MTTSL dijangka menerima dua kapal tangki kimia baharu menjelang akhir tahun ini yang akan membantu kumpulan memperluaskan skop perkhidmatan perkapalannya.
Logistik Bersepadu Terus Diperkukuh
Selain operasi perkapalan, perniagaan depot dan gudang MTTSL juga dijangka mengekalkan momentum positif susulan peningkatan kadar penggunaan serta permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan logistik bersepadu.
Kumpulan turut memulakan operasi kemudahan pengangkutan bersepadu di Kota Kinabalu, Sabah yang akan membolehkan MTTSL memperluaskan tawaran perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih menyeluruh.
Secara keseluruhan, pelaburan dalam kapal baharu, kapal tangki kimia, depot, gudang dan kemudahan logistik bersepadu itu dilihat menjadi sebahagian daripada usaha MTTSL untuk membina ekosistem logistik yang lebih lengkap serta menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com






