liza28/09/2026 - 17:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – KKB Engineering Berhad memperoleh satu kontrak dan dua tempahan bernilai keseluruhan kira-kira RM462 juta, termasuk kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) struktur tetap luar pesisir daripada Sarawak Shell Berhad.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KKB Engineering berkata kontrak itu diterima melalui anak syarikatnya, OceanMight Sdn Bhd bagi pembangunan medan SK408 Teja & Pepulut (TePu) serta Temu & Inai (TuNai).
“KKB Group turut menerima tempahan daripada Hock Seng Lee Berhad dan Bumia Sdn Bhd.
“Kontrak daripada Sarawak Shell berkuat kuasa mulai 28 Ogos 2026 hingga Disember 2027, manakala tempahan bekalan daripada kedua-dua syarikat itu dijadualkan selesai pada suku keempat 2026,” katanya.
Namun, butiran terperinci mengenai dua tempahan daripada Hock Seng Lee Berhad dan Bumia Sdn Bhd tidak didedahkan dalam makluman tersebut.
Sumbangan kepada pendapatan KKB
KKB Engineering berkata kontrak dan tempahan berkenaan tidak memberi kesan kepada modal saham syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih KKB dan kumpulannya sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak dan pembekalan.
Kumpulan itu bagaimanapun berdepan risiko pelaksanaan termasuk ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, turun naik mata wang asing, perubahan harga serta keadaan cuaca.
Selain itu, keadaan politik, ekonomi dan peraturan turut menjadi antara faktor yang boleh menjejaskan pelaksanaan kontrak dan tempahan berkenaan.
Tiada seorang pun daripada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak dan tempahan tersebut. Lembaga Pengarah KKB Engineering berpendapat kontrak dan tempahan berkenaan adalah demi kepentingan terbaik KKB dan kumpulannya. - DagangNews.com






