
KOTA KINABALU: Sabah perlu terus menerima pakai inovasi, kemajuan teknologi dan kerjasama strategik bagi memperkukuh kedudukan dalam masa depan tenaga Malaysia di samping memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata sektor tenaga global kini sedang melalui perubahan besar dipacu peningkatan permintaan tenaga, kemajuan teknologi pesat, perubahan dinamik pasaran, perkembangan geopolitik serta peningkatan aspek alam sekitar.
Menurutnya perkembangan itu mengubah cara negara menghasilkan, mengagihkan dan menggunakan tenaga sekali gus menjadikan keselamatan tenaga semakin penting.
“Tenaga boleh dipercayai dan mampu milik kekal asas kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah ke-13 (Sogce 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Negeri berkata walaupun landskap tenaga yang berubah membawa cabaran besar namun ia turut membuka peluang kepada Sabah untuk memperkukuh peranannya sebagai penyumbang utama kepada masa depan tenaga Malaysia serta menjana nilai ekonomi lebih besar kepada rakyat.
“Sabah dianugerahkan sumber asli yang banyak, kedudukan geografi strategik serta keupayaan industri yang semakin berkembang.
“Sumber minyak dan gas kita terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan.
“Pada masa sama kita juga sedang meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi mampan yang akan menyumbang kepada ekosistem tenaga lebih pelbagai dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata sektor tenaga kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi, pengembangan industri dan penciptaan pekerjaan di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dr Joachim turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan mampan, pertumbuhan perniagaan dan daya saing industri melalui infrastruktur kukuh, tadbir urus cekap, modal insan berkemahiran serta kerjasama strategik.
Menurutnya masa depan tenaga bukan sahaja ditentukan oleh sumber semula jadi tetapi juga oleh inovasi.
Beliau berkata kecerdasan buatan (AI), automasi, pendigitalan, analitik lanjutan serta teknologi baharu sedang mengubah operasi industri tenaga dengan meningkatkan kecekapan, memperkukuh keselamatan, mengurangkan kesan alam sekitar dan mewujudkan peluang baharu dalam rantaian nilai.
“Keupayaan untuk menerima dan memanfaatkan teknologi ini akan menentukan daya saing industri dan ekonomi pada masa akan datang.
“Sabah perlu terus menerima inovasi dan kemajuan teknologi sambil membuka ruang kepada perniagaan serta bakat tempatan untuk turut serta dalam landskap yang sedang berubah ini,” katanya.
Dr Joachim turut menegaskan pembangunan modal insan sama pentingnya ketika industri berdepan peralihan tenaga dan transformasi digital.
“Peralihan tenaga memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran baharu, kepakaran teknikal dan keupayaan digital.
“Generasi muda perlu bersedia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan industri hari ini tetapi juga memimpin industri masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata pelaburan dalam pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama industri-akademia amat penting dalam membina tenaga kerja bersedia masa depan.
“Masa depan tenaga akhirnya adalah mengenai manusia. Ia tentang mewujudkan peluang, membangunkan bakat, meningkatkan taraf hidup dan memastikan manfaat pertumbuhan dinikmati semua,” tambahnya.
Dr Joachim turut mengalu-alukan delegasi antarabangsa, wakil diplomatik dan pemimpin industri yang hadir ke Sogce 2026 sambil menyifatkan penyertaan mereka sebagai bukti keyakinan terhadap potensi ekonomi Sabah serta minat global terhadap sektor tenaga negeri ini.
“Apabila cabaran global semakin saling berkait, kerjasama antarabangsa dan perkongsian strategik menjadi semakin penting.
“Melalui kolaborasi, pertukaran ilmu dan pelaburan kita boleh membuka peluang baharu serta membangunkan penyelesaian mampan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga rantau ini,” jelasnya.
Beliau berkata penyertaan pembuat dasar, pelabur, pakar dan pemain industri dari pelbagai negara mengukuhkan lagi nilai Sogce sebagai platform dialog, perkongsian dan pembangunan perniagaan.
Selama tempoh dua hari penganjuran acara ini, delegasi akan membincangkan isu utama termasuk keselamatan tenaga, transformasi digital, kecerdasan buatan, penyahkarbonan, pengurusan karbon, integrasi tenaga boleh diperbaharui, peluang pelaburan dan pembangunan bakat.
Dr Joachim berkata kejayaan sebenar Sogce bukan hanya diukur melalui perbincangan semasa persidangan, tetapi juga melalui kerjasama, pelaburan, inovasi dan peluang yang terhasil selepasnya.
“Saya menggalakkan semua delegasi untuk mengambil bahagian secara aktif, berkongsi idea, membina rangkaian dan meneroka peluang kerjasama.
“Gunakan platform ini untuk menukar idea kepada tindakan, inovasi kepada pelaburan dan peluang kepada pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau menegaskan masa depan tenaga tidak boleh dibangunkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen bersama serta perkongsian kukuh antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti.
“Bersama-sama, kita boleh membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk Sabah, Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Terdahulu Dr Joachim mengucapkan tahniah kepada Midas Events Management dan jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan Sogce buat kali ke-13 berturut-turut.
Beliau menyifatkan persidangan itu sebagai platform utama minyak, gas dan tenaga Sabah yang menjadi pemangkin penting kepada kerjasama, inovasi dan pelaburan di dalam dan luar negeri.
“Kerajaan Sabah menghargai inisiatif seperti Sogce yang menyumbang besar kepada perkongsian ilmu, pembangunan perniagaan, pembentukan bakat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.






