amree15/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept — Buku tempahan Southern Score Builders Berhad meningkat kepada RM1.86 bilion, didorong kontrak baharu RM180 juta bagi kerja-kerja bangunan utama hospital swasta di Melaka.
Penganalisis menilai tender yang diperoleh melalui anak syarikatnya, Southern Score Sdn Bhd (SSSB) daripada Radium Hospital Ayer Keroh Sdn Bhd (RHAK) itu mengukuhkan prospek pendapatan kumpulan.
Antaranya Apex Securities yang menyifatkan projek berkenaan yang perlu disiapkan menjelang Mei 2028, sebagai kontrak tunggal terbesar diraih kumpulan itu merentas semua segmen setakat 2026.
"Kami menganggarkan tender RHAK mampu menyumbang RM27 juta keuntungan selepas cukai (PAT) Southern Score sepanjang FY27 hingga FY28, berdasarkan margin 15% diunjurkan," jelas nota firma tersebut.
Menurutnya, kemenangan kontrak tahun sehingga kini berjumlah RM431.5 juta dan sudah menghampiri sasaran pengisian semula buku tempahan FY27 sebanyak RM500 juta, walaupun masih di peringkat awal.
Apex Securities melihat aliran projek daripada Radium Development Berhad sebagai sumber kerja berulang, yang melengkapkan momentum segmen mekanikal dan elektrikal (M&E) dipacu projek pusat data (DC).
Bagaimanapun, firma itu turut memberi amaran peningkatan transaksi berulang dengan pihak berkaitan (RRPT) dengan Southern Score boleh menyebabkan tumpuan pelabur terhadap risiko kepekatan hasil.

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) 78 sen, berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 17.6 kali unjuran FY27," katanya.
Sementara itu, Phillip Capital berkata kontrak baharu itu adalah kesinambungan pakej substruktur hospital yang sudah diumumkan pada November 2025 dan menandakan projek memasuki fasa kerja utama.
Firma penyelidikan berkenaan turut optimis dan menganggarkan tender tersebut mampu menyumbangkan lagi sekitar RM23 juta keuntungan bersih kepada akaun Southern Score sepanjang FY27 hingga FY29.
Ia berdasarkan margin keuntungan bersih 13% dan meletakkan buku tempahan kumpulan pada sekitar RM1.6 bilion selepas kemenangan terbaharu, dengan SSSB membentuk 21% daripada jumlah tersebut.
"Buku tender subsidiari itu yang berjumlah RM1.1 bilion turut menyediakan ruang untuk pengisian semula buku tempahan, merangkumi pelbagai pelbagai projek," tambah Phillip Capital dalam notanya.
Ujarnya, projek Southern Score itu termasuk DC dengan paling besar sebanyak 52%, hospital dan kediaman bertingkat tinggi 44% serta rumusan perundingan kejuruteraan secara khusus iaitu 4%.
Ia menjangkakan pendapatan sesaham (EPS) FY27 berkembang 49%, didorong SSSB apabila pengiktirafan hasil kontrak meningkat, dengan mengekalkan saranan 'beli' dan TP 74 sen. - DagangNews.com





