
Tengah Buat "Content" Di Restoran, Pempengaruh Maut Ditembak Ketika Siaran Langsung
Seorang pempengaruh Mexico maut ditembak pada Selasa ketika sedang bersiaran langsung di media sosial di luar sebuah restoran di negeri Sinaloa.
Menurut AFP, Cesar Gastelum yang mempunyai lebih 500,000 pengikut di TikTok, sedang bersiaran bersama dua rakannya ketika kejadian.
Mereka bertiga berpakaian seperti penghantar makanan sebagai sebahagian daripada satu cabaran.
Tidak lama kemudian, sebuah motosikal dinaiki dua individu berhenti di sebelah mereka sebelum penunggangnya dilaporkan melepaskan tembakan ke arah kepala Gastelum.
Siaran langsung di Kick itu kemudiannya dihentikan dan dipadamkan oleh platform berkenaan. Bagaimanapun, rakaman serta gambar serangan tersebut terus tersebar di media sosial.
Sementara itu, polis tempatan mengesahkan kematian Gastelum.
Pada awalnya, polis melaporkan bahawa seorang penghantar makanan maut dalam kejadian itu.
Namun, mangsa kemudiannya dikenal pasti sebagai Gastelum, yang dilaporkan berusia 25 tahun dan sering menghasilkan kandungan berkaitan gaya hidup.
Serangan itu berlaku di sebuah plaza beli-belah yang sibuk berhampiran pejabat pendakwa raya Sinaloa di Culiacan, ibu negeri berkenaan.
Pihak berkuasa pada Rabu memaklumkan bahawa serangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan balas susulan hantaran media sosial mangsa mengenai sebuah kumpulan jenayah.
Untuk pengetahuan, daerah berkenaan dilanda konflik dalaman dalam kalangan anggota kartel tempatan yang berpengaruh sejak dua tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, kira-kira 12 pempengaruh, termasuk beberapa individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah, telah dibunuh di Sinaloa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.




