
KUALA TERENGGANU – Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula hari ini dijangka berlangsung dengan ‘lebih aman’ tanpa berlakunya banjir besar luar biasa.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, risiko berlakunya banjir besar pada musim tengkujuh kali ini amat rendah ekoran taburan hujan yang bakal turun diramal tidak selebat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Biarpun tiga hingga lima episod hujan diramal berlaku pada fasa awal MTL sehingga Januari tahun depan, taburan hujan yang turun dijangka tidak terlalu lebat disebabkan cuaca ekstrem.
“Keberlangsungan fenomena Super El Nino terutama mulai Disember depan akan mengurangkan kelembapan Lautan Pasifik sekali gus menyebabkan hujan lebat berterusan kurang berlaku pada musim tengkujuh kali ini.
“Ketiadaan hujan terlalu lebat tersebut sekali gus mengurangkan risiko banjir besar luar biasa terutama di Pantai Timur seperti berlaku pada tahun 2013, 2014 dan 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan MTL akan bermula hari ini sehingga Mac tahun depan.
Terdahulu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip mendedahkan sebelum ini sepanjang tempoh tersebut, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sehingga Januari tahun depan.
Beliau menyatakan begitupun selepas itu sehingga penghujung MTL pada Mac hadapan, taburan hujan dijangka berkurangan.
Dalam pada itu Jiang Xiang berkata, walaubagaimanapun, kejadian banjir dalam skala kecil dijangka masih berlaku di kawasan rendah dan berhampiran pesisir pantai dan tebing sungai.
Beliau juga menasihatkan penduduk setempat dan pihak berkuasa tidak terlalu selesa sebalik masih perlu peka dengan kemungkinan berlakunya kacauan atmosfera luar jangka seperti lekukan Borneo dan luruan sejuk.
“Fenomena kacauan atmosfera berkenaan sekiranya terjadi masih boleh mencetuskan hujan yang sangat lebat terutama di Pantai Timur.
“Sekiranya ia berlaku, risiko berlakunya banjir besar akan kembali meningkat,” tambah beliau.
The post Tengkujuh kali ini tiada banjir besar appeared first on Kosmo Online.




