Tenom tuan rumah Sambutan Hari Peladang Sabah

24 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tenom tuan rumah Sambutan Hari Peladang Sabah

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri ini secara bergilir, bermula dengan Tenom sebagai tuan rumah bagi penganjuran tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan sambutan berkenaan tidak lagi tertumpu di Kota Kinabalu, sebaliknya dapat didekatkan kepada masyarakat di seluruh negeri.

Katanya, penganjuran secara bergilir memberi peluang kepada penduduk pedalaman mengunjungi program berkenaan, selain membantu menggerakkan ekonomi dan perniagaan setempat.

“Saya bersetuju sambutan tahun ini berlangsung di Tenom dari 23 hingga 25 Oktober ini, dengan majlis pelancaran pada 24 Oktober 2026 dan dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung,” katanya selepas menerima kunjungan hormat jawatankuasa induk sambutan diketuai Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, pemilihan Tenom sebagai lokasi pertama di luar Kota Kinabalu membuka ruang kepada petani, penternak dan nelayan membawa hasil untuk dipamerkan serta dipasarkan.

Katanya, peniaga tempatan turut berpeluang meraih manfaat melalui kehadiran pengunjung ke sambutan berkenaan.

“Penganjuran di daerah juga membolehkan masyarakat setempat berkunjung ke pesta ini, sekali gus membantu menggerakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran secara bergilir di daerah lain pada masa depan turut memberi pengiktirafan kepada usahawan tani, penternak dan nelayan melalui pelbagai anugerah. – UTUSAN 

The post Tenom tuan rumah Sambutan Hari Peladang Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved