GEORGE TOWN - Seorang wanita berusia 57 tahun ditemukan lemas ketika menjalani terapi akuatik di kolam renang sebuah kondominium di Tanjung Bungah di sini, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.10 petang.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama suaminya yang merupakan warga asing sedang menjalani terapi akuatik di kolam renang berkenaan pada jam 5.20 petang sebelum lelaki itu meninggalkannya seketika untuk menjawab panggilan telefon daripada seorang rakan.
"Suami mangsa meninggalkannya kira-kira lima minit dan apabila kembali ke kolam renang, mangsa didapati telah tenggelam disyaki terjatuh daripada pelampung.
"Suami mangsa kemudian terjun ke dalam kolam sebelum membawa isterinya ke tebing dan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun petugas kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia pada jam 5.49 petang,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rozak berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) untuk siasatan lanjut. - Bernama





