Misteri wanita berkebaya merah di tepi jalan

25 Oct 2026 • 12:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Misteri wanita berkebaya merah di tepi jalan

PENGALAMAN terserempak dengan seorang wanita berkebaya merah ketika memandu di Lebuhraya Utara-Selatan menjadi kejadian yang tidak pernah dilupakan Amir (bukan nama sebenar).

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari arah Sungai Petani, Kedah menuju Gurun pada lewat malam, sekitar lima tahun yang lalu.

Ketika itu, keadaan jalan agak lengang dan dia memandu seorang diri menuju ke kampung halamannya selepas pulang dari kerja.

“Saya nampak seorang perempuan berdiri di tepi jalan. Dia pakai kebaya merah dan berdiri macam sedang tunggu seseorang.

“Pada mulanya saya ingatkan dia perlukan bantuan, tetapi bila saya lalu di sebelahnya, dia hanya pandang ke arah kereta saya,” katanya kepada CitaRasa.

Amir meneruskan perjalanan kerana menyangka wanita berkenaan mungkin sudah dibantu pengguna jalan raya lain.

Namun, beberapa minit kemudian, lelaki berusia 45 tahun itu sekali lagi terlihat kelibat wanita yang sama.

Amir mula berasa tidak sedap hati selepas melihat semula wanita berkebaya merah yang sebelum itu sudah ditinggalkannya jauh di belakang.

Dia cuba menenangkan diri dan menganggap kelibat tersebut mungkin hanya kebetulan kerana kawasan berkenaan mempunyai beberapa laluan keluar masuk serta bahu jalan yang luas.

“Saya cuba fikir mungkin orang lain yang pakai baju warna sama. Saya tak mahu terus anggap benda itu pelik sebab saya seorang diri dan waktu pun sudah lewat.

“Tetapi semakin saya fikir, semakin saya rasa tak masuk akal. Saya masih ingat kedudukan perempuan itu ketika saya mula-mula lalu. Tak mungkin dia boleh berada di hadapan saya dalam masa beberapa minit sahaja,” katanya.

Dia kemudian memperlahankan kenderaan seketika sebelum kembali memandu seperti biasa. Namun, selepas beberapa ketika, perhatian Amir mula tertumpu kepada bunyi yang kedengaran dari bahagian belakang keretanya.

Pada mulanya bunyi itu perlahan dan berselang-seli. Lama-kelamaan, bunyi tersebut kedengaran semakin jelas sehingga membuatkan Amir mula berasa tidak selesa.

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi seperti seseorang mengetuk bahagian tingkap belakang keretanya seolah-olah meminta untuk masuk.

Namun, lelaki yang bekerja sebagai penjawat awam itu tidak berhenti atau menoleh ke belakang, sebaliknya terus memandu menuju ke Hentian Sebelah Gurun (R&R).

“Saya tak mahu fikir yang bukan-bukan tetapi otak saya asyik tertanya-tanya bagaimana bunyi ketukan itu boleh konsisten sedangkan kereta sedang bergerak.

“Adakala saya terbayang ada entiti yang terbang berdekatan kereta sambil mengetuk tingkap belakang.

“Perkara itu semakin membuatkan saya takut. Saya cuma fikir nak sampai ke R&R kerana di sana pasti ramai orang,” katanya.

Sebaik sahaja tiba di kawasan terang di R&R, Amir memberhentikan keretanya dan bunyi ketukan itu turut hilang serta-merta.

Amir kemudian melihat cermin pandang belakang dari ekor matanya untuk memeriksa keadaan tempat duduk belakang, namun tiada apa-apa yang mencurigakan.

Tidak mahu mengambil risiko, Amir mencapai telefon bimbitnya dan cuba mencari alunan zikir di Spotify untuk dipasang sebelum meneruskan perjalanan.

Dia masih berada di dalam kereta ketika tiba-tiba terlihat kelibat wanita berkebaya merah melintas di belakang kenderaannya.

Amir terus mengucap berkali-kali sebelum menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak.

Ketika meninggalkan kawasan R&R, dia sempat melihat melalui cermin pandang belakang dan mendapati kelibat wanita itu semakin lama semakin menjauh sebelum hilang daripada pandangan, seolah-olah meninggalkan di kawasan tersebut.

“Cerita ini dah hampir lima tahun berlaku dan sepanjang tempoh itu saya tak pernah dengar apa-apa perkara mistik berlaku di R&R berkenaan.

“Tetapi saya masih takut untuk berhenti di situ setiap kali balik kampung sebab tempat itu sentiasa mengingatkan saya tentang kejadian tersebut,” katanya.

The post Misteri wanita berkebaya merah di tepi jalan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved