
KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah semakin hampir merangkul gelaran kedua berturut-turut apabila menempah tiket ke final Terbuka Perancis 2026 selepas bangkit menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, hari ini.
Gandingan ranking keempat dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan di ranking kelima dunia tersebut 21-17, 22-20 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 47 minit di Arena Grand Paris.
Apa yang lebih mengagumkan, Pearly-Thinaah berjaya bangkit daripada ketinggalan 3-12 pada set kedua sebelum merapatkan jurang dan menamatkan perlawanan dalam dua set, sekali gus memperlihatkan ketahanan mental mereka ketika berdepan tekanan.
Kemenangan itu meletakkan pasangan negara selangkah lagi untuk menambah koleksi kejuaraan selepas menjuarai Terbuka Denmark minggu lalu.
Mereka juga berpeluang merampas semula mahkota Terbuka Perancis yang kali terakhir dimenangi pada 2022.
Di final esok, Pearly-Thinaah bakal menentang sama ada pilihan utama dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsutomo atau pasangan Indonesia, Rachel Allessya-Febi Setianingrum, yang akan menentukan lawan mereka dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing turut mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, yang merupakan pilihan keenam kejohanan.
Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking ke-31 dunia mempamerkan aksi meyakinkan apabila menamatkan perlawanan dalam masa 31 minit menerusi kemenangan 21-13, 21-9 di Arena Grand Paris.
Kejayaan itu menyaksikan mereka mara ke final kedua musim ini selepas muncul naib juara China Masters pada September lalu. Mereka akan berdepan pemenang satu lagi separuh akhir antara pilihan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dan wakil tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue. KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah mara ke final appeared first on Kosmo Online.





