KUALA TERENGGANU - Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) kini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa operator baharu bagi menguruskan operasi hotel milik kerajaan negeri di Pulau Poh, Tasik Kenyir.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu diambil susulan tindakan operator sebelum ini yang telah menarik diri secara rasmi daripada mengendalikan projek berkenaan.
Menurut beliau, projek hotel tersebut kini masih lagi berada dalam tempoh Defects Liability Period (DLP).
"Alasannya sangat sederhana, pihak tersebut mahu memberi fokus kepada perniagaan mereka di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, penarikan diri ini tidak melibatkan sebarang kerugian kepada pihak kerajaan negeri kerana mereka belum memulakan apa-apa operasi.
"Sebagai inisiatif untuk menyegerakan operasi, pengurusan Primula Beach Hotel dan Paya Bunga Hotel akan digabungkan untuk menguruskan hotel di Pulau Poh tersebut. Maksudnya, kita akan uruskan sendiri tanpa melibatkan pihak luar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai jangka masa operasi, Razali memaklumkan hotel berkenaan sepatutnya dijadualkan bermula pada Mac lalu, namun terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
"Kita akan cuba mulakan operasi secepat mungkin melalui penggabungan dua pengurusan hotel di bawah anak syarikat kerajaan negeri itu," jelasnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu penyasaran subsidi diesel, Razali berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) agar sektor pelancongan turut dipertimbangkan.
Katanya, ketika ini subsidi minyak bagi sektor tersebut tidak dimasukkan dalam kategori subsidi sedia ada.
"Kerajaan negeri akan cuba memohon kepada Motac untuk mengesyorkan agar sektor pelancongan dipertimbangkan bagi menerima subsidi khas.
"Ini penting khususnya bagi membantu pengusaha bot pelancong di pulau-pulau serta pengusaha bot rumah (houseboat) di Tasik Kenyir yang terkesan dengan kenaikan kos operasi," ujarnya.






