KUALA TERENGGANU - Walaupun kerajaan negeri menyifatkan Perjanjian Terma-Terma Utama bagi penyelesaian tanah ladang komersial sebagai satu 'kemenangan' kepada Terengganu, namun perjalanan untuk menoktahkan sepenuhnya isu tersebut belum tiba pada titik akhir.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, fasa yang sedang dilalui ketika ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada proses teknikal yang lebih kompleks.
Menurutnya, masih banyak tugas yang perlu dilaksanakan dengan semangat berpasukan yang tinggi bagi memastikan segala terma yang dipersetujui dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
"Kita belum tiba kepada titik akhir. Masih banyak tugas yang perlu dilakukan terutamanya bagi menguruskan proses pemberimilikan tanah dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai fasa seterusnya, Azman menjelaskan bahawa beban kini terletak pada komitmen kedua-dua belah pihak untuk mematuhi garis masa perundangan.
"Langkah seterusnya yang telah dipersetujui ialah, Felda akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh yang dipersetujui dan tindakan ini sedang diambil sekarang.
"Kerajaan negeri pula komited memberikan kerjasama terbaik bagi melancarkan proses pemberian hak milik ke atas 478 lot tanah yang meliputi keluasan 16,761 hektar," jelasnya.
Tambah beliau, cabaran utama selepas ini adalah menyelaraskan urusan pentadbiran tanah di enam daerah terlibat iaitu Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Katanya, ketelitian amat diperlukan memandangkan ia melibatkan aspek perundangan di bawah Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966, termasuklah urusan bayaran premium dan cukai tanah.
"'The harder the battle, the sweeter the victory'. Usaha ini tidak mudah kerana kita berhadapan dengan pelbagai pihak, namun fokus kita adalah memastikan status tanah kerajaan negeri yang diusahakan tanpa kebenaran sebelum ini dapat disahkan secara sah mengikut undang-undang," katanya lagi.






