33,796 belia di Terengganu mohon rumah

22 Apr 2026 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 33,796 belia di Terengganu mohon rumah
Wan Sukairi ke tika berucap pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Rabu.

​KUALA TERENGGANU - Seramai 33,796 golongan muda di Terengganu telah mendaftarkan permohonan dalam sistem e-perumahan bagi memiliki kediaman sendiri setakat Mac 2026.

​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, data tersebut menunjukkan permintaan tinggi terhadap kediaman mampu milik dalam kalangan belia berumur antara 21 hingga 40 tahun di negeri tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan golongan tersebut mampu memiliki rumah pertama tanpa terbeban dengan komitmen hutang jangka panjang yang tinggi.

​Jelas beliau, antara langkah utama yang diambil adalah dengan menyediakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) pada harga yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

​"Harga RMM yang ditetapkan adalah serendah RM90,000 bagi RMM Jenis A dan RM185,000 bagi RMM Jenis B.

​"Malah, kita turut memperuntukkan kuota sebanyak 10 peratus bagi setiap projek RMM khusus untuk golongan belia yang telah berkahwin bagi membantu mereka membina kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa," katanya.

​Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas-Sura) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

​Mengulas mengenai inisiatif meringankan beban rakyat, Wan Sukairi memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut memperkenalkan skim pembiayaan tanpa faedah bagi semua projek RMM Awam.

​Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan komitmen bayaran balik bulanan sekali gus mengelakkan rakyat daripada terjepit dengan masalah hutang yang tinggi.

​"Bagi memastikan bekalan rumah mencukupi, kita juga menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan Persekutuan melalui pelbagai kementerian dan agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

​"Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan pelbagai program termasuk Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan projek Penempatan Semula Nelayan (PSN)," jelasnya.

​Berdasarkan rekod tambahan, sebanyak 1,880 unit rumah daripada 20 projek RMM di pelbagai daerah telah diagihkan kepada golongan anak muda sejak tahun 2018 sehingga Mac 2026.

​Antara projek yang mencatatkan agihan tertinggi kepada belia termasuklah RMM Padang Setengge di Hulu Terengganu (250 unit), PRR Bukit Nenas di Kuala Nerus (187 unit) dan RMM Seri Bandi di Kemaman (187 unit).