
PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Berhad (KPGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Acumen Marketing Sdn. Bhd. (Acumen), menambah pegangan saham dalam ES Sunlogy Berhad (ES Sunlogy) kepada 31 peratus.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, langkah itu dicapai susulan pengambilalihan tambahan 2.73 peratus ekuiti atau 21 juta saham biasa dalam ES Sunlogy menerusi transaksi perniagaan terus bernilai RM5.36 juta.
KPGB berkata, Acumen memeterai transaksi berkenaan bersama empat pemegang saham ES Sunlogy pada harga purata RM0.2554 sesaham secara tunai.
“Harga transaksi di luar pasaran sebanyak RM0.2554 sesaham itu mewakili diskaun kira-kira 36.15 peratus atau RM0.1446 berbanding harga penutup pasaran ES Sunlogy pada 14 Ogos 2026.
“Jumlah pertimbangan pembelian sebanyak RM5.36 juta itu dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman Acumen,” katanya.
Sebelum ini, pegangan saham Acumen dalam syarikat pasaran ACE berkenaan berada pada paras 28.27 peratus selepas dua siri pengambilalihan yang diumumkan masing-masing pada 16 Julai dan 14 Ogos lalu.
Mengulas mengenai pengambilalihan tersebut, Lembaga Pengarah KPGB percaya bahawa transaksi berkenaan berada dalam kepentingan terbaik kumpulan selepas mengambil kira prospek masa depan ES Sunlogy. – UTUSAN
The post Kerjaya Prospek kuasai 31% saham ES Sunlogy appeared first on Utusan Malaysia.






