Kerjaya Prospek tambah lagi pegangan dalam ES Sunlogy kepada 31% menerusi pembelian saham RM5.4 juta

Business & Finance
17 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek tambah lagi pegangan dalam ES Sunlogy kepada 31% menerusi pembelian saham RM5.4 juta Image from: Kerjaya Prospek tambah lagi pegangan dalam ES Sunlogy kepada 31% menerusi pembelian saham RM5.4 juta liza17/08/2026 - 14:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Acumen Marketing Sdn Bhd menambah lagi pegangan sebanyak 2.73% dalam ES Sunlogy Berhad menerusi pembelian 21 juta saham bernilai RM5.36 juta.

 

Pembelian itu dibuat melalui transaksi perniagaan secara langsung dengan empat pemegang saham ES Sunlogy pada 17 Ogos 2026 pada harga purata RM0.2554 sesaham.

 

Susulan transaksi itu, pegangan Acumen dalam ES Sunlogy meningkat daripada 28.27% kepada 31% yang mengukuhkan lagi kepentingan Kerjaya Prospek dalam syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad itu.

 

Beli pada harga 36.15% lebih rendah

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata jumlah pembelian sebanyak RM5.364 juta itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman yang dijana Acumen.

 

Harga pembelian dipersetujui berdasarkan prinsip persetujuan bersama selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk harga pasaran semasa saham ES Sunlogy, sejarah harga dan jumlah dagangan saham serta prospek perniagaan dan prestasi kewangan syarikat berkenaan.

 

Menariknya, harga pembelian RM0.2554 sesaham itu mewakili diskaun kira-kira 36.15% atau RM0.1446 sesaham berbanding harga penutup saham ES Sunlogy pada 14 Ogos 2026.

 

Pada harga pasaran tersebut, nilai 21 juta saham yang diperoleh KPGB adalah sekitar RM8.4 juta berbanding kos pembelian sebanyak RM5.364 juta.

 

Kerjaya Prospek berkata transaksi tersebut dilaksanakan susulan urus niaga pada 14 Ogos 2026 yang tidak berjaya diselesaikan dengan empat penjual berkenaan sebelum transaksi baharu itu dibuat bagi meneruskan pembelian saham ES Sunlogy.

 

Jumlah pegangan meningkat kepada 31%

Pengambilalihan terbaru itu merupakan transaksi ketiga yang dibuat KPGB dalam meningkatkan pegangan dalam ES Sunlogy sejak Julai lalu.

 

Sebelum ini, Acumen melanggan 70 juta saham baharu ES Sunlogy pada harga RM0.268 sesaham dengan nilai keseluruhan RM18.76 juta, yang mewakili kira-kira 9.09% daripada modal saham diperbesarkan ES Sunlogy.

 

Pada 14 Ogos lalu pula, Acumen membeli tambahan 147.7 juta saham atau 19.18% daripada 18 pemegang saham ES Sunlogy pada harga purata RM0.272 sesaham, membabitkan nilai RM40.18 juta.

 

Dengan transaksi terbaru itu, jumlah pegangan Acumen dalam ES Sunlogy kini mencapai 31%, manakala jumlah nilai pembelian bagi ketiga-tiga transaksi tersebut adalah kira-kira RM64.31 juta.

 

Kerjaya Prospek berkata, berdasarkan maklumat yang dimilikinya, empat penjual berkenaan bukan pengarah atau pemegang saham utama Kerjaya Prospek yang menjadikan transaksi pembelian saham ES Sunlogy tersebut dikategorikan sebagai urus niaga dengan pihak yang tidak berkaitan.

 

Bagi transaksi terbaru, nisbah peratusan tertinggi yang terpakai adalah 0.45%, berdasarkan nilai aset berbanding aset bersih Kerjaya Prospek manakala nisbah terkumpul bagi ketiga-tiga pengambilalihan meningkat kepada 5.34%.

 

Lembaga Pengarah Kerjaya Prospek berkata selepas mengambil kira semua aspek pengambilalihan itu, termasuk rasional dan prospek masa depan ES Sunlogy, pihaknya berpendapat transaksi tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved