
PERKAHWINAN selebriti kegemaran ramai, Fattah Amin dan Amira Othman hari ini genap setahun.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, Fattah memuat naik ucapan istimewa sempena menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama buat Amira.
Pelakon Mat Kilau itu meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas segala suka duka yang dilalui bersama sepanjang setahun mendirikan rumah tangga, selain berikrar untuk terus bersama hingga ke akhir hayat.
Bukan sahaja mendedikasikan ucapan manis, Fattah turut meluahkan penghargaan buat Amira yang berkorban melahirkan cahaya mata mereka, Muhammad Jarir Umar.

"Happy first anniversary, sayang. Thank you for everything yang kita lalui bersama setahun ini dan insya-ALLAH tahun-tahun bersama akan datang.. especially for bringing Jarir.
"Alhamdulillah hadiah yang paling bermakna untuk kita " tulisnya.
Hantaran berkenaan dihujani dengan ribuan ucapan tahniah dan doa daripada warganet yang tumpang gembira melihat kebahagiaan mereka.

Tidak kurang memberi pujian kepada Fattah yang sentiasa menghargai pengorbanan isteri dan mendoakan agar mahligai rumah tangga mereka kekal bahagia hingga ke jannah.
Sekadar info, Fattah dan Amira diijab kabul di sebuah resort di Sepang pada 15 September 2025 yang juga jatuh pada ulang tahun Fattah ke-35.
Akad nikah pasangan popular itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat.
Mereka juga selamat menimang cahaya mata lelaki sulung yang diberi nama Muhammad Jarir Umar pada 23 Jun lalu.






