Terpengaruh kandungan ganas, murid Tahun 6 cedera mercun dibawa ke sekolah meletup

LocalFamily & Parenting
30 Sep 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terpengaruh kandungan ganas, murid Tahun 6 cedera mercun dibawa ke sekolah meletup
Mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke HPSF, Muar untuk rawatan lanjut.

MUAR – Tindakan seorang murid lelaki berusia 12 tahun membawa dan membakar mercun di kawasan sebuah sekolah rendah di daerah ini dipercayai berpunca daripada pengaruh kandungan berunsur keganasan yang ditonton di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi pada Selasa, murid terbabit mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian itu turut mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah sehingga pihak pentadbiran mengarahkan murid berkumpul di kawasan selamat.

“Berdasarkan siasatan awal, murid terbabit dipercayai terpengaruh dengan kandungan berunsur keganasan yang ditonton melalui internet.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan faktor yang mendorong kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, polis turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian dengan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar serta Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang ancaman bahan letupan lain dikesan di kawasan sekolah berkenaan.

“Pemeriksaan turut dijalankan di kediaman murid terbabit dan polis merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, setakat ini seramai enam saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan manakala usaha mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes itu sedang dijalankan.

“Mahkamah Majistret Muar turut membenarkan perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved