
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kandungan media sosial pada masa kini diakui sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian.
Malah, ada yang menjadikan ia sebagai ikutan khususnya dalam kalangan pengguna media sosial di bawah umur.
Murid Tahun 6 Melecur Lepas Mercun Dibawa Ke Sekolah Meletup
Terbaharu, polis mendedahkan seorang murid lelaki tahun enam dari sebuah sekolah di daerah Muar, Johor cedera setelah mercun yang dibawa olehnya meletup.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi pada Selasa (29 September), pelajar lelaki berusia 12 tahun itu melecur pada beberapa bahagian badan serta turut mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.
Bawa Mercun Ke Sekolah Kerana Terpengaruh Kandungan Berkaitan Keganasan
Difahamkan, punca mangsa membawa mercun ke sekolah kerana dipercayai terpengaruh dengan kandungan insiden berkaitan keganasan yang ditonton dari media sosial.
Polis Sahkan Ada Terima Laporan, Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Dengan Beberapa Unit Melalui Unit Pemusnah Bom (UPB)
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian terbabit dan menjelaskan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan semalam.
Jelasnya, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan yang selamat sebelum mendapatkan bantuan polis ekoran kejadian berkenaan.
“Murid terbabit dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati murid terbabit melecur di beberapa bahagian badannya dan penilaian psikiatrik turut dijalankan sebelum dia dibenarkan mendapat rawatan pesakit luar.
“Pada masa sama, polis turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian melalui Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,” katanya.
Siasatan Lanjut Sedang Dijalankan, Polis Panggil 6 Saksi Bantu Siasatan
Tambah Raiz Mukhliz, hasil pemeriksaan oleh pihaknya mendapati tiada ancaman bahan letupan lain yang dikesan di lokasi kejadian.
Malah, hasil siasatan awal juga turut membawa kepada penahanan murid berkenaan bagi membantu siasatan.
“Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi dan kediaman murid terbabit serta merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian untuk siasatan dan dianalisis.
“Seramai enam saksi tampil memberi keterangan berhubung kejadian itu. Usaha mengesan dan mengenalpasti saksi lain masih dijalankan dan mereka akan dipanggil untuk merakam percakapan.
“Siasatan awal mendapati, murid berkenaan dipercayai terpengaruh dengan kandungan berkaitan insiden keganasan yang ditonton melalui media sosial dan internet.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti keseluruhan faktor yang mendorong insiden itu berlaku,” katanya.
Murid Turut Direman Selama 4 Hari Bermula Hari Ini
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Jelas Raiz Mukhliz lagi, murid terbabit turut dibawa ke Mahkamah Majistret Muar dan direman selama empat hari bermula hari ini (30 September) bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi perhatian terhadap aktiviti serta kandungan diakses anak-anak melalui media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan gambar, video atau identiti murid terbabit memandangkan kes ini membabitkan kanak-kanak manakala siasatan masih dijalankan,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Terkena Percikan Mercun Ketika Buka Puasa Di Jambatan Angkat, Kain Berlubang & Betis Luka
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ditahan Selepas Mercun Tanpa Permit Disimpan Meletup Dalam Kondominium Di Bangi






