
PETALING JAYA: Keberkesanan pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu diukur menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, termasuk jumlah hasil negara diperoleh semula, pengurangan penyeludupan dan kejayaan pendakwaan.
Perunding kanan logistik dan kastam, Gary Foong berkata, KPI itu juga perlu merangkumi kecekapan pelepasan kargo serta peningkatan tahap pematuhan bagi memastikan pasukan berkenaan bukan sekadar menjadi satu lagi lapisan penguatkuasaan.
Katanya, pasukan khas itu sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada sistem pengurusan pelabuhan dan kontena lebih pintar bagi menangani ketirisan hasil negara serta kebimbangan pemain industri.
“Pasukan khas ini tidak seharusnya menjadi satu lagi lapisan penguatkuasaan. Ia perlu menjadi platform untuk memperkukuh perkongsian risikan, penyelarasan operasi dan pemantauan strategik antara agensi,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman pada 15 Julai lalu dipetik berkata, cadangan untuk menubuhkan pasukan petugas khas itu telah dibincangkan dengan rakan sejawatnya dari JKDM, Datuk Amran Ahmad.
Turut dibincangkan cabaran khususnya berkaitan urusan pemeriksaan kastam, selain membincangkan kerenah birokrasi dan pelbagai isu domestik dihadapi JKDM.
Amran pula berkongsi maklumat mengenai taktik sindiket yang mengelak pembayaran cukai, termasuk kegiatan penyeludupan serta pemalsuan maklumat atau dokumen bagi mendapatkan kelulusan bawah kategori berbeza.
Perkembangan itu menyusul ketika pemain industri Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy membangkitkan isu tadbir urus di pelabuhan terutama berhubung dakwaan percanggahan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum.
Bekas pegawai Kastam dan Eksais Singapura itu berkata, penubuhan pasukan khas SPRM-JKDM tepat pada masanya kerana penyeludupan, pengisytiharan barangan secara palsu atau tidak tepat serta pemalsuan dokumen bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil, malah boleh menjejaskan integriti sistem perdagangan dan keyakinan terhadap kawalan sempadan negara.
Beliau menegaskan, sebelum memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan kadar cukai sedia ada, kerajaan perlu memastikan hasil yang sepatutnya dikutip tidak terus hilang akibat ketirisan, penipuan dan kelemahan penguatkuasaan.
Foong turut berpandangan, pendekatan pasukan itu perlu lebih menyeluruh dengan menggabungkan tadbir urus, teknologi, perkongsian risikan dan penyelarasan antara agensi, bukannya hanya tertumpu kepada operasi penguatkuasaan.
Katanya, perkara itu penting memandangkan Malaysia sudah mempunyai beberapa agensi dengan tanggungjawab khusus dalam pengurusan sempadan, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), JKDM dan SPRM.
Beliau turut menggesa mandat pasukan khas SPRM-JKDM serta hubungannya dengan AKPS, APMM dan agensi lain diperjelaskan bagi mengelakkan pertindihan tugas.
Foong berkata pengurusan kontena juga perlu diberi perhatian khusus kerana ia tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan operasi kastam semata-mata, sebaliknya melibatkan keselamatan sempadan, perlindungan hasil negara, kelancaran perdagangan dan daya tahan rantaian bekalan.
“Setiap kontena yang masuk atau keluar dari Malaysia bukan sekadar membawa barangan, tetapi turut melibatkan maklumat perdagangan, transaksi kewangan, dokumen kawal selia dan tanggungjawab cukai yang perlu dipantau dengan berkesan,” katanya.
Tambahnya, tanpa tadbir urus baik, kontena boleh dieksploitasi untuk menyembunyikan barangan seludup, membuat pengisytiharan palsu, mengelak cukai atau menjalankan kegiatan haram lain, justeru pemantauan perlu merangkumi keseluruhan perjalanan kargo dan bukan hanya bermula apabila kontena tiba di pelabuhan.
Beliau turut mencadangkan teknologi dijadikan tonggak kepada sistem itu, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), analisis risiko, pengedap elektronik kontena, pengesanan kargo digital dan sistem pemeriksaan tanpa perlu membuka kontena.-UTUSAN
The post Tetapkan KPI jelas ukur keberkesanan pasukan SPRM, Kastam appeared first on Utusan Malaysia.





