
Selepas melalui dua pusingan yang cukup mencabar di Sepang dan Jempol, Pasukan RS Megatech kini memasuki Pusingan Malaysian Cub Prix (MCP) di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan satu misi jelas iaitu kembali ke kelompok hadapan dan memburu kemenangan di laman sendiri.
Sebagai persediaan menghadapi home race hujung minggu ini, pasukan telah melakukan pelbagai perubahan terhadap setup jentera bagi kategori Wira dan CP125. Selepas keputusan kurang memberangsangkan pada dua pusingan terdahulu, RS Megatech berharap perubahan tersebut mampu memberikan semula prestasi yang diperlukan untuk bersaing di barisan hadapan.
Lebih melegakan, pelumba yang mengalami kecederaan ketika perlumbaan di Jempol sebelum ini kini sudah bersedia untuk kembali beraksi.
Menurut Pengurus Pasukan RS Megatech, Ikmal Manaf, Batu Kawan sentiasa memberikan kenangan manis buat pasukan sejak 2023 dan mereka mahu meneruskan rekod tersebut.
“Perasaan memang bercampur-baur. Ada rasa risau juga selepas kehilangan banyak mata di Sepang dan Jempol. Tapi kami sudah buat yang terbaik dari segi persediaan dan setup. Kali ini kami akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan keputusan terbaik.
“Batu Kawan tidak pernah mengecewakan kami sejak 2023. Jadi sasaran kami sudah tentu kemenangan. Kalau boleh, kami mahu tebus semula mata yang hilang sebelum ini dan mengubat luka dengan keputusan yang positif di home race,” tambah beliau.
Dengan jentera baharu, pelumba yang kembali cergas dan sokongan penyokong sendiri, RS Megatech berharap Batu Kawan sekali lagi menjadi pentas kebangkitan mereka.
The post RS Megatech Sasar Kebangkitan ‘Home Race’ Di Batu Kawan appeared first on TW Media.






