TH diselamatkan dengan ‘bailout’ lebih RM10 bilion

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: TH diselamatkan dengan ‘bailout’ lebih RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi ‘bailout’ melebihi RM10 bilion selepas institusi itu berdepan krisis kewangan akibat penyelewengan yang berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tiada aset TH yang dijual kepada bukan Islam mahupun kaum Cina seperti yang difitnahkan beberapa pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha menanam kebencian dan membuat hasutan.

Beliau berkata, aset berkenaan adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“TH berdepan situasi genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti TH melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018, dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.

“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, satu pasukan kerja sudah ditubuhkan bagi meneliti dan melaksanakan segala syor RCI TH, termasuk usaha meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Katanya, pasukan itu turut meneliti kesesuaian kerangka pengawasan dan pemantauan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap pengurusan dana dan pelaburan di TH.

“Saya dimaklumkan pasukan ini bersetuju mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawalselia oleh SC, sementara aspek pengurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH kekal sebagai satu entiti yang utuh.

“Butiran lanjut syor itu akan diberikan kepada saya untuk pertimbangan lanjut bagi dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya.

Katanya, pasukan itu diketuai Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan dianggotai oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Tambahnya, krisis TH tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia kesan terkumpul daripada kerakusan dan penyelewengan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewanwagn yang telus.

“Dicadangkan untuk larangan bagi ahli politik aktif dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH. Alhamdulillah, TH sudah melaksanakan pelantikan kepimpinan, termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan, berdasarkan integriti, kebolehan, dan pengalaman berdasarkan kriteria “fit and proper” mengikut kerangka yang digunapakai oleh BNM.

“Sebenarnya kita punya ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah dan berintegriti untuk menerajui TH. Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan keseluruhannya,” katanya.-UTUSAN

The post TH diselamatkan dengan ‘bailout’ lebih RM10 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved