Tabung Haji kembali kukuh, kedudukan semakin stabil

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 8:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tabung Haji kembali kukuh, kedudukan semakin stabil
TH merekodkan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM95.63 bilion berdasarkan kedudukan pada 31 Disember 2025.
Image from: Tabung Haji kembali kukuh, kedudukan semakin stabil
Amir Hamzah

SHAH ALAM - Tabung Haji kini berada pada kedudukan stabil dan semakin kukuh selepas melalui proses pemulihan hasil pengorbanan bersama serta komitmen penuh kerajaan terhadap institusi berkenaan.

Perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah aset, simpanan pendeposit dan kadar agihan keuntungan yang semakin baik sejak 2018.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), TH merekodkan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM95.63 bilion berdasarkan kedudukan pada 31 Disember 2025.

Lebih memberangsangkan, dana simpanan pendeposit turut meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.

Selain itu, kadar agihan kepada pendeposit meningkat daripada hanya 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025 membabitkan jumlah agihan RM3.22 bilion.

Dalam perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 di Dewan Rakyat pada Selasa, kerajaan menegaskan kerugian yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 itu tidak hilang, sebaliknya ia ditanggung bersama.

**media[3612294]**

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion, iaitu kerugian RM10.2 bilion ditanggung pihak kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung Tabung Haji sendiri.

"Salah urus Tabung Haji ditanggung semua, beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji.

"Kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan," ujarnya.

Bagaimanapun, Amir Hamzah memaklumkan, pengorbanan bersama telah membuahkan hasil dan kerajaan menegaskan komitmen penuhnya terhadap Tabung Haji.

“Kedudukan Tabung Haji hari ini stabil dan semakin kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji selaras dengan syor RCI.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, amanah yang diletakkan kepada TH melibatkan wang rakyat yang disimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

"Apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka. Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerima kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan sejarah yang sama tidak akan berulang," katanya ketika membentang penerangan tentang perkara itu.

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan II menegaskan simpanan pendeposit TH adalah selamat kerana keseluruhan simpanan setiap pendeposit dijamin kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535.

Jaminan berkenaan telah wujud sejak TH ditubuhkan dan kekal sehingga hari ini.

Simpanan haji rakyat selamat dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga untuk generasi hari ini dan generasi akan datang.

Sebelum ini, laporan RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan yang mencurigakan termasuk dakwaan penyembunyian maklumat dan manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.

Tujuh daripada 14 pelaburan berkenaan dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus daripada nilai pelaburan, antaranya Al-Rawda berjumlah RM1.8 bilion, Putrajaya Perdana RM193 juta dan Trurich Resources RM364 juta.

Lima kertas siasatan telah dibuka, manakala tuntutan sivil turut dikejar di dalam dan luar negara termasuk penyiasatan atas mantan pengerusi dan pengurusan tertinggi berhubung unexplained wealth.

Kerajaan menegaskan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.

KEDUDUKAN TABUNG HAJI

- Jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025

- Dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025

- Kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025) berjumlah RM3.22 bilion

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved