
TH Sambut Baik Pendedahan Laporan RCI, Sudah Laksana 75 Peratus Syor
Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu kepada umum serta menegaskan komitmennya untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor yang dikemukakan.
TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, syor-syor RCI adalah berhubung apa yang berlaku sebelum tahun 2018.
"Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan.
"TH telah melaksanakan 75 peratus daripada syor RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi ini. Selebihnya kini sedang dalam proses pelaksanaan.
"TH juga telah memulihkan kunci kira-kira, membina rizab, dan berjaya meningkatkan pengagihan keuntungan kepada 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
"Di samping itu, TH berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.





