
SEPANG, 27 Julai 2026 – Penganjur TSS The Super Series by B-Quik mengumumkan bahawa Event 4 yang dijadualkan berlangsung di PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) pada 18 hingga 20 September 2026 telah ditunda susulan persiapan menjelang Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026 yang akan berlangsung di Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Keputusan itu dibuat selepas pengurusan litar memaklumkan bahawa Sepang perlu menjalani persiapan mandatori serta prosedur keselamatan bagi memenuhi keperluan penganjuran Formula 1.
Menurut kenyataan rasmi TSS, acara yang dijadualkan pada September tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang kerana kerja-kerja persediaan litar perlu dimulakan lebih awal.
Due to the recent confirmation that Formula 1 will host the 2026 Bahrain Grand Prix at Sepang International Circuit on 2–4 October 2026, the circuit will undergo mandatory preparation and safety procedures ahead of the F1 event
Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa mereka kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan untuk mencari tarikh baharu bagi penganjuran Event 4 dan akan mengumumkannya sebaik sahaja dimuktamadkan.
Formula 1 kembali ke Sepang
Pengumuman penundaan TSS hadir hanya sehari selepas Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026 di PETRONAS Sepang International Circuit diumumkan secara rasmi, sekali gus menandakan kepulangan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada musim 2017.
Sebagai antara kejohanan GT dan touring car terbesar di Asia Tenggara, TSS terpaksa memberi laluan kepada persiapan Formula 1 yang melibatkan pelbagai aspek operasi termasuk pemeriksaan keselamatan FIA, kerja logistik pasukan, pemasangan kemudahan sementara serta penyediaan infrastruktur media antarabangsa.
Sebelum pengumuman rasmi dibuat, TW Media turut melaporkan peningkatan ketara harga hotel sekitar Sepang dan Kuala Lumpur bagi hujung minggu 2 hingga 5 Oktober 2026, sekali gus menjadi petunjuk awal bahawa satu acara bertaraf dunia bakal berlangsung di Malaysia.
Walaupun penundaan ini mungkin mengecewakan peminat TSS, ia menunjukkan impak besar kepulangan Formula 1 terhadap kalendar sukan permotoran serantau. Tarikh baharu bagi Event 4 TSS The Super Series by B-Quik akan diumumkan oleh penganjur dalam masa terdekat.
The post Thailand Super Series Pusingan 4 di Sepang September Ditunda Selepas Kepulangan Rasmi Formula 1 ke Malaysia appeared first on TW Media.





