
PETALING JAYA: The Ladies’ Golf Tournament kembali untuk edisi kedua dari 1 hingga 3 Oktober ini dengan aspirasi melahirkan kejohanan golf wanita berprestij dari Malaysia yang mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kejohanan yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club itu bagi menyediakan lebih banyak peluang pertandingan kepada pemain golf wanita Malaysia, selain membangunkan kejohanan tempatan yang mempunyai potensi untuk berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pengasasnya, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, visi berkenaan bukan sekadar untuk menjadikan The Ladies sebagai kejohanan tahunan, sebaliknya membangunkannya sehingga mempunyai kedudukan tersendiri dalam kalangan kejohanan golf wanita antarabangsa.
“Kami berharap suatu hari nanti di Barat, terdapat satu kejohanan yang sangat terkenal bernama Masters.
“Di Timur yang berasal dari Malaysia, terdapat satu kejohanan yang sangat terkenal bernama The Ladies. Itulah visi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Edisi 2026 mengekalkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM100,000, sekali gus menyediakan platform pertandingan kepada pemain golf wanita Malaysia selain menyokong pembangunan berterusan golf profesional wanita di negara ini.
The Ladies turut meneruskan hubungan The Mines Resort & Golf Club dengan golf wanita yang bermula lebih dua dekad lalu apabila lokasi itu menjadi tuan rumah Women’s World Cup of Golf pada 2000.
Kejohanan tersebut membawa pemain golf wanita antarabangsa terkemuka ke Malaysia dan mencatatkan satu bab penting dalam sejarah golf negara.
Selepas 25 tahun, The Mines kembali memberi tumpuan kepada golf wanita menerusi penubuhan The Ladies pada 2025 dengan fokus membangunkan kejohanan tempatan dan menyediakan lebih banyak peluang kepada pemain golf wanita tempatan.
Edisi kedua pada 2026 meneruskan usaha itu, sekali gus melanjutkan hubungan The Mines dengan golf wanita selama lebih suku abad.
The Ladies’ Golf Tournament 2025 menyaksikan Liyana Durisic mencipta sejarah sebagai juara sulung selepas menamatkan saingan 54 lubang dengan catatan dua bawah par untuk membawa pulang gelaran serta hadiah wang tunai RM17,500.
Jocelyn Chee muncul naib juara, manakala Ng Jing Xuen menduduki tempat ketiga.
Kejohanan itu bukan sekadar menawarkan hadiah wang tunai, sebaliknya bertujuan mewujudkan peluang, membina keyakinan serta menyediakan platform kepada pemain yang sedang meningkat naik untuk menguji kemampuan mereka bersama pemain golf wanita terkemuka Malaysia.
Dengan kejohanan kembali pada Oktober ini, barisan pemain golf baharu akan berpeluang bersaing di The Mines dan mencipta bab seterusnya dalam sejarah The Ladies. – UTUSAN
The post The Ladies kembali, sasar pentas golf wanita antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.






