amree30/07/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Gadang Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM63.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, berbanding keuntungan bersih RM10.74 juta pada FY25.
Prestasi lemah ini disebabkan penurunan nilai inventori sebanyak RM25.40 juta berkaitan pelupusan tanah Rumah Selangorku, dan kemerosotan nilai loji jana kuasa berjumlah RM18.88 juta di Indonesia.
Selain itu, kumpulan turut terkesan dengan peruntukan sebanyak RM9.45 juta bagi ganti rugi akibat kelewatan projek pembinaan sedia ada serta peningkatan kos pembinaan mencecah RM33.12 juta.
"Pertukaran mata wang asing turut rugi bersih sebanyak RM9.55 juta akibat penyusutan nilai rupiah yang menjejaskan imbangan antara syarikat," jelas Gadang dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, pendapatan tahunan naik sebanyak 1% kepada RM787.45 juta berbanding RM779.81 juta pada tahun lepas, didorong oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi dalam bahagian pembinaan.
Sementara itu ujar kumpulan tersebut, hasil bagi suku keempat tahun kewangan 2026 merosot kira-kira 40% kepada RM121.10 juta berbanding RM200.98 juta bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Tambah Gadang, bahagian pembinaan mencatatkan peningkatan hasil tahunan kepada RM519.8 juta, namun kerugian kasar RM29.4 juta akibat margin rendah serta kenaikan kos bahan mentah dan buruh.
"Pendapatan bahagian hartanah pula turun kepada RM234.01 juta berbanding RM300.99 juta pada FY25, sebahagian besarnya disebabkan transaksi pelupusan tanah pembangunan secara sekali beri," katanya.
Bahagian utiliti kerugian sebelum cukai RM12.96 juta, disebabkan oleh kemerosotan nilai loji kuasa di Indonesia, walaupun terus menjana pendapatan berulang yang stabil daripada loji rawatan air.
Gadang namun kekal berhati-hati terhadap cabaran industri termasuk kenaikan kos dan persaingan sengit, serta menumpukan usaha untuk menambah tempahan kerja pembinaan dalam sektor tertentu.
Bagi bahagian hartanah pula ujarnya, kumpulan tersebut akan memfokuskan kepada inisiatif pemasaran secara strategik dengan jualan tidak berbil yang sedia ada sudah mencecah jumlah RM136.70 juta.
"Kumpulan juga menjangkakan sumbangan positif daripada projek solar fotovolta baharu di Tawau, Sabah, untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang," jelasnya. - DagangNews.com






