
TANJUNG MALIM: Tiada aktiviti perlombongan bitcoin secara haram dikesan di daerah ini sejak 2022 kerana pemantauan secara aktif oleh polis dan pembekal utiliti elektrik tunggal negara iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, berdasarkan laporan TNB dan semakan berkenaan penggunaan elektrik di perumahan serta premis di daerah ini munasabah serta tidak berlebihan mendorong berlakunya aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.
“Tidak berlebihan seperti yang dinyatakan. Macam kita ambil contoh satu perumahan ni menggunakan 100 voltan elektrik untuk isi rumah (purata sebuah rumah kediaman).
“Sebanyak 10 buah rumah dinilai, TNB membuat kiraan berapa banyak guna, tidak melebihi jangkaan dan munasabah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pelupusan Barang Kes (Kontraban/Perjudian/Barang Am/Bitcoin) IPD Muallim Bil.1/2026.
Katanya, aktiviti perlombongan bitcoin secara haram memerlukan arus elektrik yang tinggi untuk beroperasi.
Ujarnya, tiada rumah kosong atau terbengkalai setakat ini dikesan melakukan aktiviti tersebut.
Berhubung pelupusan barangan kes, Khalid berkata, kesemua barangan yang dilupuskan itu merupakan barangan kes bermula 2018 hingga tahun lalu yang nilai keseluruhannya berjumlah RM55,535.
“Pelupusan barang kes bagi bahagian siasatan jenayah sebanyak 1,081 unit melibatkan 30 kertas siasatan yang terdiri daripada 99 unit barang kes bitcoin, barang kes am (26 unit), barang kes kontraban (581 unit), botol arak (72 unit) dan 11 unit barang perjudian.
“Manakala, bagi siasatan jenayah komersial pula barangan kes sebanyak 23,476 unit yang merangkumi 16 kertas siasatan sementara bahagian penguatkuasaan trafik melibatkan 21 barang kes (15 kertas siasatan) mengikut peruntukan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” katanya. – UTUSAN
The post Tiada aktiviti perlombongan bitcoin haram di Tanjung Malim sejak 2022 appeared first on Utusan Malaysia.





