Tiada bukti kukuh syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan Indonesia

17 Nov 2026 • 9:46 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tiada bukti kukuh syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan Indonesia

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan belum menemui bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran hutan di Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata perkara itu berdasarkan penelitian kementeriannya bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terhadap dakwaan penglibatan syarikat Malaysia yang mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kawasan kebakaran di negara jiran.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran tertakluk kepada bidang kuasa dan undang-undang negara ASEAN tempat kejadian berlaku.

“Berdasarkan penelitian setakat ini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang meminta penjelasan mengenai jumlah syarikat Malaysia mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kawasan kebakaran hutan di Indonesia serta tindakan penguatkuasaan.

Arthur berkata setiap negara anggota ASEAN bertanggungjawab melaksanakan komitmen di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) menerusi dasar, undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan masing-masing.

Menurutnya, perjanjian itu turut menekankan kepentingan kerjasama dan pertukaran maklumat bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran.

“Pendirian Kerajaan adalah jelas bahawa pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu di kawasan punca perlu dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Arthur berkata kerajaan telah beberapa kali meneliti kewajaran menggubal Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan seperti yang dilaksanakan negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan undang-undang sedemikian berdepan beberapa cabaran, khususnya berkaitan bidang kuasa perundangan, pengumpulan bukti serta pembuktian kes di luar negara.

Beliau berkata penentuan liabiliti syarikat dan implikasi terhadap kedaulatan negara lain juga perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, kerajaan akan terus meneliti mekanisme bersesuaian bagi memperkukuh prinsip kebertanggungjawaban pihak yang menyebabkan pencemaran, selain melindungi kepentingan rakyat terjejas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved