‘Tiada gangguan, hanya latihan’ - Matebedi bawa atlet olahraga negara berkampung di Jepun

16 Sep 2026 • 9:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Tiada gangguan, hanya latihan’ - Matebedi bawa atlet olahraga negara berkampung di Jepun
Shereen sedia untuk membawa cabaran negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Gambar kecil: Matebedi

KEM latihan selama tujuh hari di Sendai, Jepun menjadi kesempatan terakhir skuad olahraga negara memantapkan persiapan sebelum turun pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Ketua jurulatih pecut kebangsaan, Thabo Matebedi mahu tempoh berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dengan atlet memberi keutamaan kepada latihan, pemulihan dan pemakanan bagi memastikan mereka tiba pada temasya dalam keadaan terbaik.

Antara atlet yang menyertai kem berkenaan ialah pemenang gangsa 100 meter (m) Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pelari 400m wanita Shereen Samson Vallabouy, selain Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Umar Osman.

Menurut Matebedi, pemilihan lokasi di luar Malaysia membolehkan atlet mengurangkan gangguan daripada aktiviti lain yang boleh menjejaskan fokus pada fasa akhir persiapan.

"Perkara pertama dalam kem latihan adalah untuk memastikan atlet benar-benar fokus. Apabila kita berada di luar Malaysia, kurang aktiviti lain yang boleh dilakukan.

"Jadi hanya ada tiga perkara untuk dilakukan iaitu latihan, pemulihan dan makan," katanya.

Matebedi turut menggunakan kem berkenaan untuk memperkukuh keserasian kuartet 4x100m lelaki, wanita dan campuran negara, khususnya dalam aspek pertukaran baton.

Katanya, kemampuan setiap pelari sahaja belum memadai kerana kelancaran acara berganti-ganti turut bergantung kepada tahap kepercayaan dan keserasian sesama anggota pasukan.

"Bagi saya, acara berganti-ganti bukan hanya mengenai sejauh mana pantas seseorang atlet boleh berlari. Ia juga mengenai membina kepercayaan antara atlet," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan atlet kebangsaan sudah biasa dengan rutin serta persekitaran negeri masing-masing, justeru masa yang diluangkan bersama penting untuk membentuk kesatuan sebagai sebuah pasukan.

"Atlet ini adalah atlet kebangsaan, jadi mereka lebih biasa sebagai individu berdasarkan negeri masing-masing. Tetapi kita perlu wujudkan keserasian supaya mereka boleh bersama sebagai satu pasukan.

"Apabila mereka menghabiskan lima hari atau seminggu bersama di tempat yang sama, mereka mula membina kepercayaan antara satu sama lain," katanya.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, manakala saingan olahraga dijadualkan bermula 23 hingga 29 September.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved