
SEBAIK mendapat restu, beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan kembali bergandingan selepas temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bagi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Keputusan yang dibuat itu bukanlah sekadar reunion, sebaliknya menjadi misi besar selepas dipisahkan dan digandingkan dengan pemain lain sebelum ini.
Ramai menganggap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan beberapa gandingan utama termasuk Aaron-Wooi Yik sebagai wake up call untuk mereka dan ada benarnya juga.
Aaron dan Wooi Yik yang kembali bergandingan buat seketika pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi bulan lalu membuktikan mereka beregu terbaik apabila mara ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, hasrat untuk bergelar juara dunia buat kali kedua tidak kesampaian apabila disekat jaguh China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang mempamerkan aksi lebih berkualiti.
Di sinilah penulis merasakan Aaron-Wooi Yik perlu membuktikan mereka mampu untuk membenam cabaran beregu-beregu terbaik dunia, sekali gus membuatkan keputusan kembali berganding adalah sesuatu yang tepat.
Hampir semua peminat sukan tanah air, khususnya badminton menyambut baik keputusan mereka kembali bergandingan, namun ia hadir dengan tanggungjawab dan beban cukup besar.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei sebelum ini sudah pun bersetuju untuk menurut kemahuan kedua-dua pemain tersebut.
Bagaimanapun, beliau seolah-olah memberikan amaran kepada pasangan No.4 dunia itu bahawa tidak akan ada sebarang perubahan lagi selepas ini seandainya mereka berdepan sebarang masalah.
“Semua orang tahu saya adakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan Aaron-Wooi Yik sebelum ini. Tanggungjawab saya bukan bersifat peribadi, tetapi ia dilakukan demi negara.
“Mereka (Aaron-Wooi Yik) cakap mahu kembali berganding, saya cakap okey dan mereka akan bermain bersama selepas Sukan Asia sehingga 2028. Saya harap ia bukan sekerat jalan kerana kita tidak boleh ubah lagi selepas ini,” katanya.
Menjelang Sukan Asia 2026 nanti, Aaron akan menggalas cabaran bersama Tee Kai Wun dengan sasaran menamatkan kemarau pingat emas skuad badminton selepas kali terakhir dimenangi pada 2006 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Sebaik sahaja Sukan Asia melabuhkan tirainya, Aaron-Wooi Yik akan kembali menjalani latihan dengan misi mereka selepas itu untuk menyertai jelajah Eropah pada kejohanan Terbuka Denmark, Perancis dan Hylo.
Misi mereka di jelajah Eropah nanti bukan sekadar ‘makan angin’ apabila ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu gelaran di sana.
“Tidak ada sebarang KPI (petunjuk prestasi utama) yang spesifik, cuma kami mahukan keputusan terbaik daripada mereka. Daripada tiga kejohanan itu, harus dapatkan satu gelaran sama ada Denmark, Perancis atau Hylo,” ujarnya.
Kesimpulannya, Aaron-Wooi Yik sudah diberi peluang kedua dan kini adalah masa paling sesuai untuk mereka membuktikan bahawa keputusan kembali bergandingan merupakan satu tindakan yang tepat.
The post Aaron-Wooi Yik: ‘Saya harap bukan sekerat jalan’ appeared first on Kosmo Online.






