KULAI – Tiada sebarang rayuan diterima daripada pengendali Network School selepas lesen perniagaannya dibatalkan susulan pelanggaran syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembatalan itu dibuat selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mendapati terdapat dua kesalahan nyata membabitkan operasi pusat berkenaan.
Menurutnya, antaranya membabitkan iklan yang tidak mematuhi syarat selain perbezaan ketara antara lesen dipohon dengan operasi sebenar dijalankan.
“Lesen yang dimohon dengan apa yang ada secara sebenar di peringkat operasi sangat berbeza dan melanggar syarat lesen.
"Batal terus. Kalau mudah cakap, statusnya adalah tidak mengikut undang-undang,” katanya pada sidang akhbar Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai di Dewanraya Putra, Bandar Putra di sini pada Isnin.
Pada Rabu lalu, MBIP mengumumkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) dibatalkan dan mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Sebelum itu, MBIP memaklumkan keputusan membatalkan lesen perniagaan Network School dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi pihak syarikat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelabur, namun perlu mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.
Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang menggunakan lesen bagi menjalankan aktiviti berbeza daripada kelulusan diberikan.
“Kalau ada syarikat daftar untuk satu jenis perniagaan tetapi menjalankan perniagaan lain, apabila disiasat dan didapati melanggar syarat, kita akan batalkan.
"Kita bagi tempoh 14 hari untuk dia orang datang pada kita. Kalau dia tak datang, maknanya kita akan batalkan," katanya.
Ditanya sama ada tindakan lanjut akan dikenakan terhadap pemilik syarikat, Mohd Jafni berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian pihak jabatan undang-undang.
Beliau berkata, pihak MBIP sudah melaksanakan tindakan berdasarkan bidang kuasa PBT termasuk pembatalan lesen berkenaan.
Network School yang sebelum ini beroperasi di Forest City, Johor membuka kampus baharu di Kazakhstan selepas pembatalan lesen perniagaannya oleh MBIP.
Pengasas Network School, Balaji Srinivasan turut mengumumkan satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara syarikatnya dengan Republik Kazakhstan bagi tujuan tersebut.





![[VIDEO] Murid bawa durian ke tadika, hadiah perpisahan kepada guru](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/durian-murid-tadika-1024x576.jpeg)