Network School batal terus, tiada rayuan lesen baru diterima

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 1:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Network School batal terus, tiada rayuan lesen baru diterima

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengesahkan pembatalan lesen operasi Network School adalah muktamad selepas premis berkenaan didapati melanggar syarat lesen yang diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) mengesan dua pelanggaran yang jelas membabitkan operasi premis tersebut.

“Kesalahan pertama melibatkan penggunaan iklan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, manakala pelanggaran kedua ialah aktiviti sebenar premis didapati berbeza daripada lesen yang dipohon.

“Lesen yang dipohon dengan operasi sebenar sangat berbeza dan ia melanggar syarat lesen. Sebab itu kita tamatkan dan batalkan lesen tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai 2026 di Dewanraya Putra Bandar Putra, di sini hari ini.

Mengulas sama ada pembatalan itu bersifat sementara, Mohd. Jafni menegaskan lesen berkenaan dibatalkan terus dan setakat ini pihak pengendali tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada MBIP.

“Kalau ikut mudahnya, operasi itu adalah tidak sah. Jika pada masa depan mereka menubuhkan syarikat lain atau memenuhi segala syarat yang ditetapkan, itu perkara lain. Namun setakat ini tiada rayuan diterima,”katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Johor membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau Network School di Forest City serta mengarahkan semua operasinya dihentikan berkuat kuasa 22 Julai lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Network School menjadi perhatian selepas timbul dakwaan mengaitkan institusi berkenaan dengan individu dan rangkaian luar negara mempunyai kaitan dengan Israel sekali gus mendorong beberapa agensi menjalankan siasatan terhadap aspek pelesenan, imigresen serta pematuhan undang-undang.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Network School sebelum ini menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut saluran undang-undang jika perlu.

Kerajaan negeri turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau syarat pelesenan, selain mengingatkan semua pengusaha perniagaan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan yang berkuat kuasa.-KOSMO! ONLINE

The post Network School batal terus, tiada rayuan lesen baru diterima appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved