
KULAI: Pihak Network School yang diarah tutup dan hentikan operasi di Forest City, Iskandar Puteri baru-baru ini tidak membuat sebarang rayuan terhadap kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat untuk kembali beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor sehubungan itu berkata, pengoperasian sekolah yang diasaskan oleh Balaji Srinivasan telah dihentikan dan ditutup sepenuhnya.
“Di peringkat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), ada dua kesalahan. Satu, iklan tidak mematuhi syarat, manakala kedua, lesen yang dimohon berbeza dengan apa yang beroperasi secara realitinya, jadi sudah melanggar syarat lesen. Sebab itu kita tamat dan batalkan.
“Kita batal terus, jikalau misalan mereka tubuh syarikat lain atau memenuhi semula proses syarat ditetapkan, sudah tentu kita akan proses macam biasa. Tetapi setakat ini tiada rayuan. Kita biasanya bagi tempoh 14 hari untuk mereka datang tampil kepada kita. Kalau tak datang, maknanya kita batalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kerjaya di Dewanraya Putra, Bandar Putra, di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan negeri dan PBT membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan.
Susulan itu, pada Rabu lepas, MBIP bertindak menyita dan menghentikan operasi premis berkenaan selepas menyerahkan Notis Pembatalan Lesen pada pukul 11.30 pagi.
Tambah Mohd. Jafni, dasar dan polisi yang diamalkannya kerajaan negeri Johor sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing, bagaimanapun sesuatu pelaburan tersebut haruslah mematuhi syarat dan undang-undang tempatan.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita mengalu-alukan semua pelaburan masuk kerana kita memang negeri mesra pelabur. Kalau tengok kemasukan pelaburan tahun lalu, ia mencecah sehingga RM113 bilion.
“Kita negeri nombor satu yang menerima pelaburan masuk tertinggi. Maknanya daripada segi sistem dan dasar, kita sangat mesra pelabur. Tetapi kita tidak menggalakkan pelabur-pelabur yang datang dan melanggar syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung sebarang tindakan undang-undang terhadap pemilik premis berkenaan, Mohd. Jafni memberitahu tindakan yang telah diambil pihaknya adalah melibatkan peringkat PBT di negeri ini.-UTUSAN
The post Network School tidak buat rayuan untuk kembali beroperasi – Exco Johor appeared first on Utusan Malaysia.






