
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin mendakwa Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak menghadapi sebarang kerugian sepanjang beliau menggalas jawatan sebagai pengerusi dari tempoh 2020 hingga 2022.
Nazir Hussin berkata, beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi YBR dengan baik dan tiada penyelewengan yang berlaku.
“Saya ingin menegaskan bahawa YBR tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku. YBR telah membuat pelaburan sebanyak RM10 juta dan pelaburan tersebut dibuat berdasarkan prinsip good governance, due diligence serta tatakelola yang sewajarnya.
“Lebih penting, modal pelaburan berkenaan telah diperoleh semula sepenuhnya, malah YBR turut menerima pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Dutamas 1, di sini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM membebaskan dua tokoh korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dengan jaminan.
Suspek bergelar Datuk Wira dibebaskan pada 5 Oktober lalu selepas tempoh remannya berakhir, manakala seorang lagi suspek bergelar Datuk Seri dilepaskan semalam selepas tempoh remannya dilanjutkan selama dua hari.
Menurut sumber, sebelum ini kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 5 Oktober lalu.
Nazir Hussin berkata, pulangan hibah itu dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sepanjang tempoh pelaburan yang sudah ditamatkan pada November 2022.
Dalam pada itu, beliau menepis dakwaan bahawa dirinya menyalahgunakan kedudukan dengan membuat pelaburan menggunakan syarikat milik abangnya, Datuk Mubarak Hussain Akhtar Hussin.
“Untuk penjelasan, syarikat berkenaan bukan milik abang saya. Sebaliknya, abang saya hanya menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat tersebut selepas YBR membuat pelaburan.
“Transaksi yang melibatkan abang saya dalam syarikat berkenaan hanya bermula pada tahun 2021 dan beliau masih merupakan salah seorang pelabur sehingga kini.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya,” katanya. – UTUSAN
The post Tiada satu sen hilang, dicuri – Nazir Hussin appeared first on Utusan Malaysia.





