
MELAKA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diumumkan kelmarin tidak akan disusuli pindaan atau pengenalan undang-undang baharu bagi menggantikannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat bagi memastikan kebebasan mahasiswa terus terjamin tanpa mereka terikat dengan perundangan khusus yang boleh menyekat pergerakan serta kegiatan di kampus.
Beliau menegaskan, kebimbangan terhadap kemungkinan mahasiswa melakukan kesalahan selepas AUKU dimansuhkan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan akta berkenaan.
“Saya mahu umumkan sekarang, kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya hendak jelaskan bahawa saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.
“Ada kebimbangan apabila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu akan diperkenalkan yang turut mengongkong atau menyekat. Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini semalam.
Kelmarin, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 sebagai langkah reformasi pendidikan tinggi bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa termasuk daripada aspek kebebasan bersuara, pemikiran dan penglibatan dalam masyarakat.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu menyeluruh dan progresif bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi negara pada masa kini dan akan datang.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mengambil kira keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi dengan merangka akta baharu bagi menggantikan AUKU.
Sementara itu Anwar menambah, mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada sekiranya melakukan kesalahan termasuk mencederakan orang lain atau menipu dalam peperiksaan.
Katanya, undang-undang jenayah dan peraturan tatatertib sedia ada sudah memadai untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana mahasiswa yang melakukan kesalahan tanpa memerlukan akta khusus seperti AUKU.
“Saya tidak bermaksud untuk melonggarkan peraturan tatatertib atau undang-undang jenayah sedia ada tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan.
“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebelum meneliti pula permasalahan yang membelenggu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Anwar berkata, Seri Paduka Baginda menghubunginya pada awal pagi semalam dan antara perkara yang disentuh adalah keperluan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan TH terlebih dahulu sebelum memberi perhatian kepada Felda.
Menurut Anwar, beliau turut memaklumkan mengenai tindakan kerajaan meneliti beberapa laporan dan permasalahan melibatkan agensi serta institusi berkaitan, termasuk isu TH yang memerlukan penelitian lanjut.
Katanya, kerajaan tidak akan mengambil mudah sebarang kelemahan yang dikenal pasti, sebaliknya laporan berkaitan akan dibaca, diteliti dan pandangan pihak pengurusan turut diambil kira sebelum tindakan susulan dibuat.
“Kita terima semua, kita baca laporan, kemudian terima dan dapatkan pandangan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dalam memastikan segala kelemahan tadbir urus dapat diperbaiki dan tidak berulang.
Tegasnya, usaha pembaharuan itu termasuk meneliti beberapa aktiviti pelaburan serta keputusan pengurusan yang sebelum ini menimbulkan persoalan dan memerlukan penelitian secara menyeluruh.
Sementara itu, Anwar berkata, PKR akan terus mengekalkan kerjasama dengan Barisan Nasional dan UMNO di peringkat Persekutuan demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.
Katanya, sebarang keputusan berkaitan hala tuju kerjasama politik tidak seharusnya dibuat berasaskan kemarahan atau kepentingan tertentu, sebaliknya perlu didorong kepentingan rakyat dan negara.-UTUSAN.
The post Tiada undang-undang baharu ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.






