Tiafoe bangkit luar biasa

9 Sep 2026 • 7:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiafoe bangkit luar biasa

NEW YORK: Frances Tiafoe melakukan kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan dua set dan 0-3 pada set penentuan sebelum menewaskan rakan senegaranya, Alex Michelsen dalam aksi suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Tiafoe, pilihan ke-11 kejohanan, menundukkan Michelsen 5-7, 3-6, 7-5, 6-3, 7-6 (10-6) dalam pertarungan sengit selama empat jam 38 minit untuk mara ke separuh akhir di Flushing Meadows buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun.

Pemain AS itu pada awalnya bergelut untuk mendapatkan rentak permainan apabila Michelsen tampil agresif dan menguasai dua set pertama.

Michelsen, 22, yang menghuni ranking ke-46 dunia, turut berpeluang menamatkan perlawanan pada set ketiga ketika melakukan servis pada kedudukan 5-4.

Bagaimanapun, dua kesalahan berganda yang dilakukannya membuka ruang buat Tiafoe untuk bangkit dengan memanfaatkan peluang itu bagi memenangi set tersebut 7-5.

Kemenangan itu menyuntik semangat baharu buat Tiafoe yang kemudian memenangi set keempat 6-3 sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan.

Michelsen sekali lagi berada di posisi terbaik selepas mendahului 3-0 pada set kelima, namun Tiafoe enggan mengalah sebelum mengheret perlawanan ke penentuan ‘tie-break’ 10 mata.

Tiafoe akhirnya memastikan kemenangan menerusi pukulan forehand untuk menamatkan penentuan dengan keputusan 10-6.

Michelsen tidak dapat menahan sebak selepas perlawanan sebelum kedua-dua pemain berpelukan di jaring.

“Saya rasa saya sendiri yang menyerahkan kemenangan itu kepadanya. Selepas itu, dia mula bermain dengan sangat baik,” kata Michelsen.

Tiafoe pula mengakui kemenangan tersebut cukup bermakna selepas melalui pertarungan yang penuh emosi.

“Detik ini sangat besar. Saya sudah memenangi banyak perlawanan hebat di sini dan saya juga pernah tewas dalam banyak perlawanan yang sukar. Jadi, dapat melakukannya sekali lagi terasa sangat menakjubkan,” katanya. – AFP

 

The post Tiafoe bangkit luar biasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved