
PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk mengurangkan agihan kerusi Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap keputusan pilihan raya akan melalui proses penilaian bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik strategi parti, namun perkara itu tidak seharusnya dikaitkan dengan pengurangan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Kita akan membuat penilaian (post mortem) terhadap pilihan raya negeri. Ini menjadi lumrah kepada setiap parti politik.
“Negeri-negeri lain juga menyaksikan banyak parti mengalami kekalahan. Jadi, tidak timbul isu pengurangan pengagihan kerusi dan sebagainya.
“Pengagihan kerusi akan dibuat secara bersama oleh semua parti PH. Amanah itu sebahagian daripada PH. Macam mana PH nak beri kerusi Amanah kepada orang lain. PH sahaja yang akan buat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada PRN Johor, PH meletakkan 19 calon daripada Amanah, namun hanya seorang calon parti itu berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.
Sementara itu, pada PRN Negeri Sembilan, Amanah berdepan keputusan lebih mencabar apabila gagal memenangi mana-mana daripada sembilan kerusi yang dipertandingkan.
Prestasi tersebut mencetuskan persoalan mengenai tahap sokongan pengundi terhadap Amanah serta keupayaan parti itu untuk mempertahankan kedudukannya dalam PH menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).
Mengulas mengenai dakwaan bahawa DAP berkemungkinan meninggalkan Kerajaan Perpaduan, Mahfuz berkata, perkara itu masih belum diputuskan oleh parti berkenaan.
“DAP belum membuat keputusan lagi, jadi kita tunggu keputusan DAP terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN
The post Tidak boleh kurangkan agihan kerusi Amanah dalam PH appeared first on Utusan Malaysia.






