GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai kira-kira RM1.6 juta selepas menahan tiga individu serta merampas lebih 10 kilogram dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam beberapa serbuan berasingan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara dari Isnin hingga Selasa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Timur Laut itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, tangkapan dibuat antara jam 12 tengah hari pada 9 Mac hingga jam 2 pagi, 10 Mac melalui tiga serbuan berasingan.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kawasan parkir kenderaan di Timur Laut yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek, polis menemui dan merampas 120 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA seberat kira-kira 3,024 gram,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian melakukan serbuan kedua di kawasan parkir kenderaan yang sama selepas dipandu arah oleh suspek.
Menurut Azizee, dalam serbuan tersebut, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal milik suspek, polis merampas 119 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat 2,213 gram,” katanya.
Azizee menambah, siasatan lanjut membawa kepada serbuan ketiga di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara yang turut dipandu arah oleh suspek.
Katanya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 252 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA seberat 5,220 gram, 18 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk ketamin seberat 515 gram dan tujuh keping aluminium foil mengandungi 70 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 19 gram.
Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan penyimpanan dan pengedaran dadah yang dijalankan oleh kumpulan terbabit dipercayai dilakukan oleh ‘runner’ dadah yang aktif sejak Disember 2025.
**media[3459700]**
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 30,000 penagih atau untuk 30,000 kali penggunaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
"Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah atau jenayah lain.
"Selain dadah, kita turut nenyita sebuah kereta Honda Civic bernilai RM130,000, sebuah Perodua Myvi bernilai RM44,000, sebuah Toyota Vios bernilai RM36,000, seutas rantai leher bersama loket bernilai RM9,044 dan wang tunai RM5,500.
“Jumlah nilai rampasan dadah dianggarkan RM1.6 juta manakala nilai sitaan harta RM224,544 menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1.82 juta," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Mac bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan," ujarnya.
Azizee berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan oleh JSJN selain kerjasama orang awam.
“Polis ltidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kerana memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan itu merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang," katanya lagi.

