
ZURICH – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat ke atas tiga pemain Argentina susulan insiden kekasaran terhadap pemain Sepanyol selepas tewas 0-1 dalam final Piala Dunia 2026, bulan lalu.
Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes telah digantung 10 perlawanan, sekali gus menyaksikan bintang Boca Juniors itu tersisih daripada skuad La Albiceleste dalam aksi antarabangsa sehingga Jun tahun depan.
Pada aksi final itu, Paredes gagal mengawal perasaan dengan mencetuskan kontroversi selepas apabila bertindak kasar terhadap pemain Sepanyol, Eric Garcia dan Gavi sejurus wisel penamat ditiupkan.
Hukuman 10 perlawanan itu antara yang paling berat pernah dikenakan FIFA dalam sejarah Piala Dunia dan hampir menyamai hukuman yang pernah diterima penyerang Uruguay, Luis Suarez pada 2014.
Selain Paredes, pemain pertahanan, Nahuel Molina turut digantung tujuh perlawanan, manakala Thiago Almada dikenakan penggantungan satu perlawanan.
Paredes dan Molina masing-masing turut didenda AS$90,000 (RM380,000) manakala Almada dikenakan denda AS$30,000 (RM126,000).
Argentina sebelum ini menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$34 juta (RM137 juta) daripada FIFA susulan kejayaan finalis Piala Dunia lepas.
Bagaimanapun, AFA masih mempunyai peluang untuk mencabar hukuman tersebut melalui Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“AFA akan meminta FIFA memberikan alasan penuhuntuk membolehkan rayuan difailkan kepada jawatankuasa rayuan badan induk itu, sambil mengekalkan pilihan untuk membawa perkara ini ke CAS sebagai jalan terakhir,” kata kenyataan AFA semalam. – AGENSI
The post Tiga pemain Argentina dihukum FIFA appeared first on Kosmo Digital.




