
LABUAN: Tiga pemilik perniagaan di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan dan makanan yang ditawarkan kepada pengguna.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata tiga notis kompaun dikeluarkan kerana melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Dua daripada kes itu membabitkan premis runcit, manakala satu lagi membabitkan premis makanan.
“Pemeriksaan mendapati premis runcit berkenaan gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang ditawarkan kepada pengguna, manakala gerai makanan turut gagal mempamerkan tanda harga bagi makanan siap dimakan yang ditawarkan untuk jualan.”Pemeriksaan itu dijalankan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian susulan aduan yang diterima daripada pengguna berhubung isu harga. Junaidah berkata paparan tanda harga penting bagi memastikan pengguna mendapat maklumat harga yang jelas sebelum membuat keputusan pembelian.
Ia juga membolehkan pengguna membandingkan harga dengan lebih mudah dan mengelakkan kekeliruan ketika urus niaga.
Katanya, individu yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.”Beliau mengingatkan peniaga supaya tidak memandang ringan keperluan mempamerkan tanda harga pada setiap barangan yang ditawarkan untuk jualan termasuk makanan siap dimakan di premis makanan.
Tanda harga hendaklah dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat bagi memberi ketelusan kepada pengguna ketika membuat keputusan pembelian.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai peniaga yang tidak mematuhi peraturan, khususnya berkaitan harga dan penandaan harga, supaya menyalurkannya kepada Kementerian melalui saluran aduan rasmi untuk tindakan lanjut.






