ALOR SETAR – Tiga peserta perarakan keagamaan cedera dalam insiden renjatan elektrik ketika menyertai perarakan di jalan utama di Mergong di sini, pada Selasa malam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam apabila tiang bendera yang dibawa peserta menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga menyebabkan percikan arka elektrik.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada tiang bendera yang dibawa ketika perarakan menghampiri talian elektrik berkenaan.
Menurutnya, TNB menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang melibatkan tiga orang awam itu dan mendoakan supaya semua mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera.
“Pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan objek tinggi termasuk tiang bendera berada pada jarak selamat daripada talian elektrik,” katanya pada Rabu.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan berkata, perarakan berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan pada hari keempat bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Menurutnya, ketika kejadian beliau tidak berada di lokasi dan hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh peserta perarakan terbabit.
“Ketiga-tiga mangsa mungkin masih bersekolah dan sedang menerima rawatan serta dalam pemantauan doktor.
"Setakat ini saya tak tahu keadaan mereka kerana masih dalam zon merah,” katanya semasa ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan mangsa terjatuh di atas jalan selepas kejadian sebelum dibantu peserta perarakan lain.





