Tiga remaja direnjat elektrik: Tiang bendera hampiri talian voltan tinggi ketika perarakan – TNB

14 Oct 2026 • 10:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga remaja direnjat elektrik: Tiang bendera hampiri talian voltan tinggi ketika perarakan – TNB
Peserta perarakan membantu tiga mangsa yang terjatuh di atas jalan dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menyertai perarakan di jalan utama di Mergong, Alor Setar. Foto tular

ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan insiden elektrik yang mencederakan tiga peserta perarakan keagamaan di Mergong di sini, malam Selasa.

TNB dalam kenyataan pada Rabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca daripada tiang bendera yang dibawa peserta perarakan menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga mencetuskan percikan arka elektrik.

Sehubungan itu, TNB menzahirkan rasa simpati terhadap insiden membabitkan tiga orang awam berkenaan serta mendoakan supaya semua mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera.

“Pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan objek tinggi termasuk tiang bendera berada pada jarak selamat daripada talian elektrik,” katanya pada Rabu.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan mangsa terjatuh di atas jalan selepas kejadian sebelum dibantu peserta perarakan lain.

Media melaporkan, kejadian melibatkan dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang lagi yang berusia 16 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan berkata, perarakan berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan pada hari keempat bermula jam 8 malam hingga 11 malam.

Menurutnya, ketika kejadian beliau tidak berada di lokasi dan hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh peserta perarakan terbabit.

“Ketiga-tiga mangsa mungkin masih bersekolah dan sedang menerima rawatan serta dalam pemantauan doktor.

"Setakat ini saya tak tahu keadaan mereka kerana masih dalam zon merah,” katanya semasa ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved