Gempa bumi kuat landa selatan Peru

21 Aug 2026 • 10:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gempa bumi kuat landa selatan Peru

LIMA: Gempa bumi kuat berukuran 6.7 magnitud melanda selatan Peru pada Khamis, menurut pakar seismologi Amerika Syarikat (AS) dengan pihak berkuasa melaporkan tiga orang mengalami kecederaan ringan berdasarkan laporan awal.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 40 kilometer di barat laut Upahuacho dan hampir 800 kilometer dari ibu negara, Lima. 

Gempa berlaku pada jam 1 tengah hari waktu tempatan  pada kedalaman 99 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa bumi di Peru itu menyusuli dua gempa besar di rantau berkenaan sejak Jun.

Sebelum ini, gempa berkembar di Venezuela berlaku pada 24 Jun yang mengorbankan lebih 6,400 orang.

Gempa kuat kuat berlaku di Colombia minggu lalu yang mengorbankan hampir 300 orang.

Di Peru, sekurang-kurangnya 22 rumah, enam sekolah dan 12 pusat perubatan terjejas akibat gempa itu, menurut laporan awal, ketika pegawai terus menilai kerosakan.

Institut Geofizik Peru (IGP) merekodkan gempa itu pada magnitud 7.2 dan berkata, ia berlaku pada kedalaman 108 kilometer.

Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke bandar-bandar Andes, Puquio dan Coracora.

Rakaman yang disiarkan media Peru menunjukkan batu dan tanah runtuh dari lereng bukit di sekitar Coracora di wilayah Ayacucho, bandar paling hampir dengan pusat gempa yang mempunyai kira-kira 10,000 penduduk.

“Penduduk memberikan respons. Mereka berpindah dan berlindung,” kata datuk bandar itu, Yony Odon kepada televisyen milik kerajaan menerusi panggilan telefon dengan menyatakan harapan agar tiada kerosakan besar berlaku.

Gempa bumi itu dirasai dengan intensiti sederhana hingga kuat di beberapa wilayah, menurut Institut Pertahanan Awam Kebangsaan dalam catatan di X.

Gempa susulan berukuran 4.2 magnitud turut dirasai pada jam 4.30 petang waktu tempatan, menurut IGP.

Gegaran itu turut dirasai di Cusco, Arequipa dan malah Lima tetapi dengan intensiti lebih rendah, menurut wartawan AFP.

The post Gempa bumi kuat landa selatan Peru appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved