Tiga warga Filipina ditahan miliki syabu

18 Oct 2025 • 3:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki warga Filipina dan merampas lebih lima gram syabu dalam dua operasi berasingan di Jalan Silam dan Jalan Pantai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua suspek ditahan secara berasingan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pada Rabu dan Khamis.

Menurut beliau, dua warga Filipina ditahan pada Rabu dalam operasi yang dijalankan di Jalan Pantai dan Kampung Puyut.

“Tangkapan dua suspek itu membawa kepada rampasan sebanyak 0.52 gram syabu. Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah selepas ujian saringan dilakukan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambahnya, seorang lagi warga Filipina ditahan selepas serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Air Pasang, Jalan Silam pada Khamis.

Suspek berumur 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas pasukan operasi menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 5.75 gram dalam simpanannya.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM632.50.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.