

Gema deruman enjin Formula Satu (F1) bakal menggegar semula Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas hampir sembilan tahun sepi! Namun, di sebalik kehangatan berita ini, ada satu persoalan besar yang bermain di fikiran peminat tegar motorsport: Berapa pula harga tiketnya kali ini?
HARGA MUTLAK DI TANGAN BAHRAIN
Mengulas mengenai harga, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, semua keputusan berkaitan harga tiket berada di bawah bidang kuasa Bahrain kerana negara itu menanggung yuran hak penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan.
"Semua perkara berkaitan penjualan tiket masih dalam perbincangan dengan Bahrain. Apa yang saya faham, semua hasil jualan tiket akan kembali kepada Bahrain kerana mereka yang membayar yuran hak penganjuran.
“Kita akan cuba sedaya upaya mendapatkan harga istimewa, mungkin menerusi harga khas MyKad atau pakej tertentu untuk rakyat Malaysia, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan Bahrain,” katanya ketika ditemui selepas sidang media berhubung penganjuran F1 Grand Prix Bahrain di SIC semalam.

Mengulas harapan peminat mendapatkan tiket pada harga di bawah RM100 seperti tiket perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Azhan mengakui impian itu sukar direalisasikan berdasarkan nilai komersial perlumbaan F1 ketika ini.
“Secara realistik memang sukar untuk kita menawarkan tiket di bawah RM100. Saya sendiri sudah meneliti harga tiket di beberapa penganjuran F1 di seluruh dunia dan harganya memang jauh lebih tinggi.
Difahamkan, harga, kategori tiket, kuota untuk rakyat Malaysia serta tarikh jualan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan sasaran penjualan tiket bermula seawal Ogos ini.
BACA: Mandalika Lagi Cantik, Kenapa Litar Sepang Jadi Pilihan F1
Sumberi Berita Kosmo






