PN, Muda ikrar bantah usul ADUN lantikan di DUN Johor esok

LocalPolitics
6 May 2026 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN, Muda ikrar bantah usul ADUN lantikan di DUN Johor esok
Amira Aisyah (depan) pada sidang media ketika DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

ISKANDAR PUTERI – Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan pendirian untuk membantah usul Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok.

Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, cadangan berkenaan masih tidak jelas dan memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menegaskan, sekiranya RUU itu tetap diteruskan, ia perlu melalui proses semakan semula secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk ADUN serta pemegang taruh berkaitan.

“Keputusan dasar seperti ini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati. Jika diteruskan, ia mesti diteliti semula bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan dan tidak memberi kesan tidak diingini pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Selasa.

Amira Aisya turut menggariskan tiga persoalan utama yang perlu dijelaskan kerajaan negeri iaitu mengenai kelayakan individu yang bakal dilantik sama ada dalam kalangan ahli politik atau pakar tertentu, tujuan pelantikan sama ada bagi memenuhi kuota, serta status elaun dan keistimewaan yang akan diterima mereka.

Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pengimbang hanya menyuarakan pandangan dan kegusaran demi Bangsa Johor agar perkara itu dapat diteliti dan perbaiki.

Ditanya sama ada sidang DUN kali ini yang terakhir sebelum DUN dibubarkan, bekas Menteri Besar Johor itu menjawabnya secara berseloroh.

“Kalau kita lihat secara kasar dan dengar apa yang Exco katakan hari ini, hasil daripada pembentangan tentang Bantuan Kasih Johor (BKJ), ucapan mereka seolah-olah esok nak raya,” katanya.