TA Securities: Perbelanjaan awal kapasiti baharu lebih besar tekan margin Malaysian Pacific Industries

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities: Perbelanjaan awal kapasiti baharu lebih besar tekan margin Malaysian Pacific Industries Image from: TA Securities: Perbelanjaan awal kapasiti baharu lebih besar tekan margin Malaysian Pacific Industries amree24/08/2026 - 10:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 OgosMalaysian Pacific Industries Berhad berdepan tekanan margin akibat perbelanjaan awal yang lebih besar bagi kapasiti baharu dan peningkatan kos bahan mentah, kata TA Securities.

 

Kekangan itu turut dijejaskan akibat permintaan yang lemah, di samping kekurangan tenaga pekerja dan ruang pengeluaran ketika kumpulan tersebut berusaha meningkatkan penggunaan kapasiti baharu.

 

Bagaimanapun ujarnya, permintaan kukuh terhadap pakej pelayan kecerdasan buatan (AI) dijangka mempercepatkan pertumbuhan pendapatan kumpulan menjelang suku keempat tahun kewangan 2027.

 

"Justeru, kami menaik taraf saranan saham Malaysian Pacific kepada 'pegang' daripada 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM47.30 sesaham berbanding RM44 sebelum ini," kata TA Securities.

 

Menurut firma tersebut, segmen pelayan AI terus mencatatkan momentum positif dengan sumbangan hasilnya naik dua kali ganda kepada 18% pada 4QFY26, didorong permintaan aplikasi AI generatif.

 

Segmen perindustrian, termasuk pelayan AI, kekal sebagai penyumbang terbesar jualan sebanyak 54%, diikuti automotif 37%, komunikasi pengguna 6% serta komputer dan komputer riba kira-kira 2%.

 

Malaysian Pacific_DagangNews2026

 

TA Securities berkata, segmen automotif Malaysian Pacific turut menunjukkan pemulihan beransur-ansur apabila keadaan permintaan semakin stabil di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun.

 

"Kelemahan pasaran domestik China sebahagiannya diimbangi permintaan eksport yang kukuh, namun isu tekanan margin baru-baru ini berpunca daripada kos awal berkaitan kapasiti baharu," tambahnya.

 

Antaranya termasuk faktor susut nilai, pengambilan tenaga kerja baharu, latihan dan kos kelayakan produk yang ditanggung sebelum sumbangan hasil meningkat secara bermakna pada suku yang berikutnya.

 

Manfaat pelaburan Malaysian Pacific itu ujar TA Securities, akan ketara menjelang 4QFY27 apabila kadar penggunaan kapasiti dan kecekapan operasi bertambah baik, selain hasil kemudahan baharu.

 

Dalam jangka panjang, kumpulan mengurangkan kebergantungan perniagaan automotif dengan perluasan bidang pertumbuhan yang tinggi seperti pembungkusan termaju, rumusan tenaga dan robotik humanoid.

 

"Syarikat tersebut dilihat berusaha mengekalkan perbelanjaan modal (capex) yang agak tinggi bagi membina keupayaan untuk meraih peluang pertumbuhan baharu untuk tempoh lebih lama," katanya. 

 

Namun TA Securities mengingatkan risiko utama Malaysian Pacific termasuk kadar penggunaan kapasiti rendah, ketegangan geopolitik, pengukuhan ringgit serta lonjakan mendadak harga komoditi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved